Fungsi MPN kepada kerajaan tidak dapat ditentusahkan - PAC

Fungsi MPN kepada kerajaan tidak dapat ditentusahkan – PAC

IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menggariskan lapan rumusan masalah pengurusan membabitkan Majlis Profesor Negara (MPN) dalam prosiding yang dijalankan pada 24 Julai dan 1 Ogos lalu.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, antaranya adalah keberkesanan dan fungsi MPN kepada kerajaan tidak dapat ditentusahkan kerana petunjuk prestasi utama (KPI) yang tidak ditentukan dan tidak dilaporkan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Selain itu, penyaluran dana tidak disalurkan kepada kluster atau chapter menyebabkan aktiviti MPN tidak dilaksanakan mengikut matlamat penubuhannya pada tahun 2014.

Kata beliau, pengoperasian MPN juga tidak dipantau sepenuhnya oleh JPM bermula 8 November 2021 menyebabkan berlakunya pelbagai ketidakaturan dalam pengurusan MPN, selain tiada pelaporan mengenai aktiviti MPN yang pernah dibuat kepada JPM menyebabkan kawalan dan pemantauan sepenuhnya terhadap MPN tidak dapat dilaksanakan.

“Seterusnya, apabila kerajaan memutuskan bahawa MPN dikeluarkan daripada seliaan JPM pada 2018, MPN telah meminda Artikel Pertubuhan pada tahun 2019. Dalam pindaan ini, peruntukan berhubung wakil kerajaan dalam Lembaga Pemegang Amanah (LPA) telah digugurkan.

“Setelah MPN diserap semula di bawah JPM pada 2021, MPN masih menggunakan Artikel Pertubuhan tahun 2019 yang dipinda meskipun telah menerima dana daripada kerajaan. Ini menyebabkan ketiadaan wakil kerajaan dalam LPA MPN mulai 2021 yang dilihat antara faktor utama operasi dan kewangan MPN tidak dipantau dan dikawal oleh pihak kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut,  Ermieyati berkata, pembayaran elaun kepada LPA pada 2022 dan 2023 sejumlah RM207,000 daripada geran kerajaan berjumlah RM7.78 juta, dibuat tanpa kelulusan Menteri yang bertanggungjawab terhadap Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) seperti Garis Panduan Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG) yang dikeluarkan oleh SSM.

“Ini kerana, MPN masih menggunapakai tatacara pembayaran elaun kepada ahli LPA seperti yang diputuskan dalam Mesyuarat Agung LPA MPN Bil. 2/2015 bertarikh 4 Mac 2015 dan Mesyuarat Agung MPN 2016 yang disahkan oleh Perdana Menteri ketika itu,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Setiausaha syarikat itu dilihat tidak memainkan peranan dengan berkesan terutamanya dalam memberikan nasihat yang tepat kepada LPA mengenai kepatuhan terhadap Artikel Pertubuhan MPN terkini (2019) serta dalam menasihati LPA dalam sebarang keputusan.

Di samping itu, katanya, Syarikat MPN Global Reach Sdn. Bhd. dan Thinkers Consultancy Sdn. Bhd. ditubuhkan bagi membantu MPN mendapatkan sumber pendapatan, namun semakan melalui carian SSM mendapati MPN tiada pegangan saham dalam kedua-dua syarikat berkenaan.

“Sebaliknya, terdapat dua ahli LPA yang mempunyai pegangan saham dalam kedua-dua syarikat berkenaan. Salah seorang Ahli LPA, Presiden/KPE MPN mendakwa tidak menyedari bahawa beliau telah dinamakan sebagai pemegang saham syarikat. Perkara ini menyebabkan berlakunya konflik kepentingan antara MPN dan kedua-dua syarikat tersebut.

“Selain itu, syarikat MPN Global Reach Sdn. Bhd. dan Thinkers Consultancy Sdn. Bhd. telah beroperasi dan menggunakan kemudahan di premis MPN. MPN juga telah menggunakan dananya bagi membiayai kakitangan syarikat yang juga kakitangan MPN,” katanya.

Lanjutan daripada MPN diserap semula di bawah JPM pada 2021, Ermieyati berkata, Artikel Pertubuhan MPN telah dipinda pada Januari 2022 dan dikemukakan kepada pihak SSM pada awal 2024.

Bagaimanapun, katanya, PAC tidak dimaklumkan mengenai status pindaan terkini.

Hasil daripada lapan rumusan itu, PAC mengesyorkan enam perkara untuk dilaksanakan sebagai langkah penambahbaikan iaitu meletakkan MPN di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berdasarkan fungsi dan peranannya sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk mengekalkan MPN sebagai CLBG.

Lanjutan daripada Syor 1, Ermieyati berkata, JPM perlu memaklumkan PAC perkembangan mengenai keputusan kerajaan berhubung status MPN sama ada kekal sebagai agensi CLBG di bawah kerajaan atau sebaliknya dalam prosiding Tindakan Susulan.

“Selain itu, MPN perlu segera mendapatkan maklum balas daripada SSM berhubung status pindaan Artikel Pertubuhan yang terbaharu.

“Pada masa sama, MPN hendaklah melantik Setiausaha Syarikat yang kompeten bagi memastikan kelancaran tadbir urus MPN terutamanya dalam mematuhi semua peraturan dan undang-undang syarikat yang berkaitan.

“MPN juga perlu membuat tindakan pembetulan dengan mendapatkan kelulusan daripada menteri yang bertanggungjawab berhubung isu penggunaan peruntukan 2022 yang digunakan untuk pembayaran bagi 2018 hingga 2021.

“Akhir sekali, JPM perlu menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) berhubung proses pemantauan ke atas syarikat-syarikat di bawah kawal selia JPM seperti yang diperuntukkan dalam Pekeliling Perbendaharaan PB 1.2 mengenai tanggungjawab Pegawai Pengawal dan SOP tersebut hendaklah dipatuhi,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya