PETALING JAYA: Format baharu perwakilan Parlimen Belia memberi peluang menyeluruh untuk pelajar memperoleh ilmu dan keyakinan tanpa perlu bersaing dengan mereka yang lebih berpengalaman.
Ahli Parlimen Belia Malaysia, Annsley Dashawna Stephen berkata, ia juga menjadi ruang untuk menyediakan asas yang adil untuk pembelajaran dan menyediakan golongan muda dengan ilmu diperlukan untuk mewakili generasi mereka secara bijaksana dan berkesan.
“Saya sering berasa kecewa apabila terlibat dalam platform yang di dominasi oleh mereka yang mempunyai pengalaman politik terdahulu.
“Kekurangan pengalaman asas dalam suasana ini boleh menyebabkan perasaan terpinggir atau tersisih. Parlimen Belia seharusnya mewujudkan suasana di mana semua peserta komited untuk belajar dan berkembang dalam bidang politik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata, pemilihan bagi perwakilan Parlimen Belia akan dilakukan dengan pelarasan format baharu bermula Mac tahun depan.
Johari berkata format baharu itu akan mengambil kira penglibatan daripada semua Universiti Awam dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di seluruh negara untuk mencadangkan perwakilan masing-masing.
Annsley Dashawna berkata, dengan mengehadkan penyertaan kepada pelajar IPT membolehkan pendekatan yang tersusun dan menyeluruh di mana peserta memperoleh ilmu dan keyakinan tanpa perlu bimbang bersaing dengan rakan yang lebih berpengalaman.
“Mengehadkan penyertaan kepada pelajar memastikan Parlimen Belia kekal sebagai persekitaran pembelajaran yang berdedikasi, direka untuk mendidik dan melengkapkan peserta bagi peranan masa depan dalam pentadbiran.
“Persekitaran yang tertumpu ini menyediakan titik permulaan yang seimbang untuk pelajar memahami isu-isu kompleks, mengamalkan wacana yang bertanggungjawab, dan terlibat dalam proses membuat keputusan yang mencerminkan pentadbiran sebenar,” jelasnya. – UTUSAN