PETALING JAYA: Perubatan dan kesihatan antara bidang yang perlu diberikan fokus oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menyediakan penajaan program sub kepakaran kepada pensyarah universiti awam (UA).
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Ismi Arif Ismail berkata, langkah itu perlu supaya para pelajar dapat menerima manfaat dan kualiti pendidikan terbaik terutama dalam bidang itu yang dilihat semakin kritikal.
“Kami menyambut baik dan menyokong usaha yang dilakukan kerajaan ini kerana dapat meningkatkan kompetensi dan kesarjanaan para pensyarah untuk dikongsi bersama pelajar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, media melaporkan, KPT berhasrat menyediakan lebih banyak penajaan di peringkat program sub kepakaran dan sabatikal pada masa depan dalam memartabatkan pendidikan tinggi negara, serta meningkatkan kepakaran dan kompetensi pensyarah UA seiring teknologi dan keperluan semasa.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, KPT kini sedang menyemak semula kemudahan penawaran dan syarat kelayakan baharu untuk program pasca kedoktoran dan tidak terhad kepada pensyarah berjawatan tetap sahaja.
Dalam pada itu, Pakar Pendidikan Pusat Pembangunan Karier Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salleh Amat berkata, kerajaan juga perlu memastikan penerima biasiswa dapat menyambung pelajarannya ke universiti terkemuka dengan kepakaran unik yang tidak dimiliki Malaysia.
Katanya, perkara itu perlu diberi keutamaan supaya pensyarah ini boleh membawa pulang pengetahuan dan teknologi terkini untuk mengisi jurang kepakaran dan memperkukuh bidang yang penting bagi pembangunan negara.
“Pihak KPT juga boleh menyemak kursus yang ditawarkan di institusi tempatan untuk memastikan bidang yang kritikal dan belum ada kepakaran mencukupi diberi perhatian,” jelasnya. – UTUSAN