KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat pengimport telur gagal dalam samannya terhadap bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung ucapan berbaur fitnah yang mendakwa syarikat itu memperoleh kontrak secara rundingan terus daripada kerajaan untuk mengimport telur dari India.
Hakim Leong Wai Hong memutuskan keputusan itu selepas menolak saman dikemukakan J&E Advance Tech Sdn. Bhd. selaku plaintif terhadap Mohamed Azmin yang dinamakan sebagai defendan tunggal.
Dalam penghakimannya, Wai Hong berkata, plaintif gagal membuktikan semua elemen fitnah yang didakwa dibuat oleh defendan.
Dengan keputusan itu, mahkamah memerintahkan syarikat itu membayar kos sebanyak RM50,000 terhadap Azmin.
Pada April tahun lalu, plaintif mendakwa walaupun nama syarikat itu tidak dinyatakan, namun ucapan berkenaan jelas merujuk kepada plaintif kerana ia satu-satunya syarikat tempatan yang dibenarkan mengimport telur dari India seperti diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam sidang Parlimen pada 8 Mac lalu.
Plaintif mendakwa kenyataan fitnah tersebut diterbitkan atau diterbitkan semula oleh defendan walaupun mempunyai pengetahuan bahawa syarikat berkenaan hanya mengimport telur dari India sebagai langkah sementara untuk membekal pasar raya tempatan, pasar mini dan pasar raya semasa musim perayaan bagi membantu menyelesaikan masalah kekurangan telur yang serius di pasaran mulai Oktober 2022.
Menurut syarikat itu, kenyataan tersebut tidak benar dan melampau yang mana syarikat berkenaan tidak pernah terlibat dan tidak mempunyai kaitan dengan apa-apa rundingan terus dengan kerajaan.
Plaintif mendakwa tindakan Mohamed Azmin itu berniat jahat dan bertujuan menjatuhkan imej serta reputasi plaintif selain untuk mencapai publisiti murahan serta kepentingan politik.
Sehubungan itu, plaintif memohon injunksi menghalang defendan, ejen atau pekerja, mengucap atau menerbitkan ucapan fitnah tersebut serta memohon ganti rugi am, pampasan, teruk, teladan, faedah dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN