KUALA LUMPUR: Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin diperintah oleh Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi membayar ganti rugi sebanyak RM1.35 juta kepada bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas mendapati Guan Eng berjaya dalam saman fitnahnya terhadap bekas Perdana Menteri itu berhubung isu pembatalan pengecualian cukai terhadap sebuah yayasan kebajikan.
Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 27 Mac 2023, Guan Eng berkata, Muhyiddin ditahan SPRM pada 9 Mac 2023 dan dibebaskan dengan jaminan pada sebelah petang.
Katanya, Muhyiddin mengeluarkan kenyataan fitnah pada hari sama diikuti pada 11 dan 12 Mac 2023 di dalam Facebook miliknya dan kemudian diterbitkan oleh beberapa akhbar dan portal berita.
Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, kenyataan fitnah berkenaan antaranya bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan apabila ia tidak patut dikenakan cukai.-UTUSAN