Fitnah: Mufti Perlis saman GISBH RM10j

Fitnah: Mufti Perlis saman GISBH RM10j

ASRI ZAINUL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin memfailkan saman fitnah terhadap GISB Holdings Sdn. Bhd. dan salah seorang pegawainya dengan menuntut ganti rugi  RM10 juta.

Writ dan afidavit sokongan difailkan pada 1 Oktober lalu di Mahkamah Tinggi Shah Alam melalui firma guaman, Tetuan Faizal Rahman & Co.

Selain GISBH, Mohd. Asri turut menamakan Timbalan Ketua Pengarah organisasi itu, Mokhtar Tajuddin sebagai defendan kedua.

Menurut afidavit sokongan difailkan, Mohd. Asri mendakwa pada 27 dan 28 Ogos lalu, GISBH  mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah di akaun Facebook organisasi itu.

Kenyataan itu antaranya menyatakan Mohd. Asri telah memfitnah organisasi itu di laman sosial miliknya dan mempunyai niat untuk menjatuhkan perniagaan mereka.

Pada ketika kenyataan-kenyataan tersebut disiarkan di laman Facebook berkenaan, Mohd. Asri telah menerima surat tuntutan daripada defendan-defendan yang mendakwa mufti itu telah memfitnah mereka.

Kenyataan-kenyataan tersebut kemudian diulangi pada sidang media oleh GISBH yang disiarkan melalui Facebook Live dan Ikhwan TV.

Menurut Mohd. Asri, tindakan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah di laman sosial terbabit dan pada sidang media berkenaan telah menyebabkan dirinya ‘dibicarakan oleh orang awam’.

Plaintif turut mendakwa tindakan tersebut telah menafikan haknya untuk menjawab surat tuntutan oleh GISBH.

Oleh itu, plaintif antara lain memohon ganti rugi am yang akan ditaksirkan kemudian oleh mahkamah dan ganti rugi teladan dan teruk sebanyak RM10 juta.

Mufti itu juga menuntut defendan membuat permohonan maaf yang akan disiarkan di beberapa akhbar tempatan termasuk Utusan Malaysia, akaun Facebook GISBH secara bertulis dan dalam bentuk video dan mana-mana laman sosial yang dimiliki organisasi itu selama 30 hari.

Turut dimohon ialah perintah injunksi bagi menghalang defendan dan mana-mana ejennya daripada mengulangi pernyataan berbaur fitnah itu serta relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya