SEOUL: Menjangkakan impak luar biasa drama bersiri Squid Game musim kedua, beberapa pengedar filem Korea Selatan mengambil keputusan mengubah jadual tayangan Disember ini.
Keputusan itu diambil bagi memastikan filem mereka yang sepatutnya bertemu penonton hujung Disember tidak tenggelam kerana bertindih dengan penayangan Squid Game 2 pada 26 Disember ini.
“Mereka risau sekiranya siri Squid Game akan membuatkan filem mereka tidak menonjol.
“Oleh itu mereka elak untuk teruskan penayangan sehari sebelum, mahupun semasa siri itu ditayangkan,” kata sebuah kenyataan rasmi yang dikeluarkan pengedar kepada media tempatan.
Susulan itu, antara filem yang telah pun menunda tarikh tayangan kepada Januari tahun hadapan ialah filem One Win, The Firefighters, dan About Family.
Bagaimanapun, filem Harbin lakonan Hyun Bin menjadi satu-satunya filem yang tidak menarik diri daripada jadual tayangan pada 25 Disember nanti.
Naskhah itu menceritakan tentang nasib seorang aktivis kemerdekaan Ahn Jung-geun lakonan Hyun Bin yang menelan bajet sehingga 28 juta won.
Dalam pada itu, musim kedua siri Squid Game akan menceritakan Seong Gi-hun yang merupakan pemenang Squid Game musim pertama kembali memasuki pertandingan. Namun begitu tujuan Seong bertindak demikian masih menjadi rahsia. -UTUSAN