PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Festival Idea Putrajaya (FOI) mampu menyemarakkan pemikiran baharu, daya cipta dan kreativiti dalam kalangan anak muda.
Menurut Perdana Menteri, idea amat penting dalam membangunkan negara seperti mana yang diungkapkan dalam kerangka besar Malaysia Madani.
“Idea boleh bercambah, boleh berkecamuk, sebab itu penerimaan idea, kupasan idea sangat penting. Ini bermakna idea yang kita bicara adalah kerangka besar yang mempertahankan nilai murni termasuk kemanusiaan dan kebaikan.
“Negara harus membangun, membangun dengan idea, kita ungkapkan dalam kerangka besar Madani, maknanya idea pembaharuan, ada yang mengakar ke bumi iaitu jati diri bangsa, nilai, budaya, bahasa, keyakinan dan kepercayaan agama,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Festival Idea Putrajaya di sini, semalam.
Anwar berkata, idea yang diungkapkan dan dimasukkan dalam Madani bermakna ia relevan dengan pemikiran dan kehidupan kerana kemampananannya tidak memberi makna kalau tidak diasaskan dengan keyakinan kepada agama, erti kehidupan, kemanusiaan serta nilai luhur.
“Sebab itu idea mesti dipelopori dengan keyakinan dan seperti yang saya selalu ungkapkan, menggapai ke langit sebab kita mahu maju, maka perlu (ada) matematik, kalkulus, digital, AI (kecerdasan buatan), perlu bicara soal tenaga baharu, ini memerlukan percambahan idea.
“Jadi festival ini boleh semarak pemikiran baharu, daya cipta dan kreativiti serta daya kritikal, apa lagi dalam kalangan anak muda kerana idea tanpa tindakan ibarat pohon tidak berbuah dan idea yang dicetuskan harus tercerna dari hati nurani yang baik,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, negara-negara luar melihat Malaysia sebagai antara negara rantau ASEAN yang paling aman di dunia manakala pertumbuhan ekonominya sangat pantas.
Menurutnya, perkara itu disampaikan oleh pemimpin-pemimpin enam negara sepanjang lawatan singkat beliau ke Mesir, Arab Saudi, Peru, Brazil, Korea termasuk China.
Beliau berkata, Malaysia merupakan negara contoh yang paling rumit dijaga kerana mempunyai pelbagai kaum dan agama serta warna kulit, namun mempunyai semangat kesatuan.
“Orang luar meneropong (Malaysia), dia cakap ini antara negara paling rumit dijaga, banyak ‘peelnya’ pelbagai warna kulit, tapi ada semangat kesatuan dan aman.
“Dan ini juga rantau Malaysia dan ASEAN yang dianggap paling pantas kelajuan dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Anwar pada masa sama menempelak segelintir pihak yang dangkal dan bankrap dari segi idea dengan cara mencari isu-isu yang boleh menarik orang melalui hal perkauman sempit.
Sebagai contoh katanya, kalau dalam kalangan orang Melayu akan tercabar kerana ada satu dua poster dalam bahasa Cina, dalam kalangan orang Cina pula, mereka akan kata rakyat Cina dinafikan hak dan tercabar.
“Pergi ke negeri-negeri akan kata hak rakyat Sabah terhakis, ini semua sentimen yang boleh menarik orang tapi tugas anak muda ialah untuk mendapat pencerahan cara kritis, kebenaran tentang kenyataannya, mendengar dari semua pihak dan mencari jalan penyelesaiannya.
“Kalau tidak, seperti kita tahu dia guna sentimen perkauman yang kononnya kebebasan dan nasionalisme. Dia bukan yakin dengan patriotisme, tetapi guna sentimen untuk membakar semangat membenci orang,” katanya.
Beliau berkata, pimpinan politik negara pula tidak ada hujah bicara soal dasar dan tidak ada kupasan, penuh kebencian, manusia hilang harga dan kasih sayang.
“Kita tidak mahu orang lemah, rosak, rasuah, melakukan kecurangan tapi kita seru dengan semangat kasih sayang, bukan mencari kelemahan, mengada-adakan apa yang tidak ada, fitnah saban hari kerana kita ada media sosial.
“Tidak pernah ada satu fahaman atau ideologi, agama atau nilai yang mempertahankan untuk kerosakan, menghina, mencaci dan memfitnah,” katanya. – UTUSAN