ISKANDAR PUTERI: Pelaksanaan Zon Kewangan Khas Forest City (FC-SFZ) bakal memberi tumpuan dalam dua sektor utama, iaitu kewangan dan logistik.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sektor perkhidmatan perbankan dan kewangan akan bertumpu di Pulau Satu Forest City yang akan memenuhi keperluan perniagaan dan komuniti komersial seperti pelaburan, insurans dan penggunaan financial technology (FinTech), regulation technology (RegTech) dan insurance technology (Insurtech) bagi perbankan konvensional dan Islam.
“Sektor kedua melibatkan perkhidmatan logistik, pusat Perkhidmatan global, dan perkhidmatan pemindahan yang akan ditawarkan di kawasan darat Forest City,” katanya menjawab soalan Fauziah Misri (BN-Penawar) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)bdi Kota Iskandar, di sini hari ini.
Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap memberitahu, perkhidmatan sokongan akan disediakan bagi kedua-dua sektor berkenaan melibatkan perkhidmatan mid-office support services dan back-office support services.
Antara lain ia melibatkan perkhidmatan sokongan pelanggan dan pembangunan produk, sokongan teknologi dan IT, pemasaran, kewangan dan perakaunan, sumber manusia dan bakat serta undang-undang dan peraturan.
Menurutnya, antara institusi kewangan termasuk Maybank, Public Bank Berhad, AmBank Group, Hong Leong Bank, CIMB, Bank of China, United Overseas Bank (UOB), manakala industri logistik terdiri daripada Tiong Nam Logistics Holdings Berhad menunjukkan minat untuk melabur.
“Kerajaan negeri akan menyokong penuh pelaksanaan FC-SFZ ini kerana ia bakal memberi manfaat besar bukan sahaja kepada pertumbuhan ekonomi Johor, malah turut memberi manfaat kepada rakyat menerusi peluang pekerjaan berpendapatan tinggi,” jelasnya.
Pada 25 Ogos tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bakal mewujudkan zon kewangan khas di Forest City dalam usaha merancakkan pelaburan, pertumbuhan dan aktiviti ekonomi di Johor. – UTUSAN