PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan siasatan dan proses mengambil keterangan terhadap pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar belum berakhir.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sekitar pukul 4.20 petang tadi, sepasukan pegawai penyiasat SPRM diarahkan ke rumah dan pejabat pasangan itu bagi melakukan siasatan lanjut.
Beliau berkata, pegawai penyiasat kini dalam peringkat memeriksa pemilikan aset-aset yang dimiliki pasangan berkenaan.
“Pegawai saya kini dalam proses membuat siasatan terhadap premis-premis dimiliki pasangan itu. Mereka pergi ke premis-premis yang ada untuk mengambil dokumen dan sebagainya.
“Perkembangan lanjut saya akan maklumkan kemudian. Sebenarnya siasatan terhadap pasangan ini masih berlangsung dan belum habis lagi,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Ditanya bila proses rekod keterangan terhadap pasangan itu akan berakhir, Azam berkata, proses itu akan terus dilakukan terutama berkaitan pemilikan aset-aset milik pasangan itu.
“Pegawai penyiasat akan membuat persoalan mengenai pemilikan aset untuk direkod bersama dalam kenyataan mereka,” katanya.
Katanya, beliau memaklumkan bahawa jika dua hari tidak mencukupi, proses rekod keterangan dan siasatan lanjut terhadap pasangan itu akan disambung pada hari lain.
Dalam pada itu, Azam turut mengesahkan tiga lagi individu telah dipanggil memberi keterangan berhubung kes itu menjadikan sembilan individu dipanggil setakat ini.
“Kami telah merakam keterangan dan percakapan sembilan individu setakat ini bagi membantu siasatan.
“Siasatan masih lagi diteruskan dan ketika ini pegawai saya sedang memeriksa dokumen-dokumen berkaitan di premis-premis milik pasangan itu,” katanya.
Terdahulu, sekitar pukul 4.20 petang tadi, Vivy dan suaminya dilihat meninggalkan bangunan SPRM dan diikuti sebuah kenderaan dinaiki pegawai penyiasat SPRM.
Mereka dipercayai menuju ke rumah dan premis pejabat pasangan itu untuk siasatan lanjut.
Pada petang Selasa dan hari ini, Vivy dan suami telah dipanggil bagi memberi keterangan kepada SPRM susulan kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam FashionValet berjumlah RM43.9 juta.- UTUSAN