Fasa kedua PADU: Garis masa diumum setelah dapat kelulusan Kabinet

Fasa kedua PADU: Garis masa diumum setelah dapat kelulusan Kabinet

RAFIZI Ramli melancarkan Program INNOVATHON Musim Kedua Tahun 2024 di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Garis masa berhubung Pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bagi fasa kedua akan diumumkan secara lebih terperinci setelah mendapat kelulusan Kabinet.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ketika ini Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan (MOF) masih sedang memperhalusi beberapa perkara termasuk kriteria kelayakan.

“Kita sudah pun ada mesyuarat minggu lepas dan rancangan-rancangan mengenai garis masa (dan) pelaksanaan sedang dibincangkan.

“Sudah tentu kalau kerajaan membuat keputusan tentang kriteria siapa yang layak, itu akan melibatkan pembukaan semula (pendaftaran) PADU dalam satu tempoh masa kelak, kerana kita kena bagi ruang kepada mereka yang belum lagi mendaftar, untuk mendaftar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Innovathon Musim Kedua di sini hari ini.

Pada 2 Julai lalu, media melaporkan kerajaan akan membuka semula pendaftaran PADU di bawah fasa kedua.

Rafizi dilaporkan berkata, ia bagi membolehkan mana-mana individu yang belum mendaftar dapat mengemas kini maklumat masing-masing mengikut tempoh yang akan ditetapkan.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada orang awam yang tidak mendaftar menerusi PADU bakal menikmati subsidi atau sebaliknya, Rafizi menjelaskan bahawa perincian mengenai mekanisme itu akan diumumkan setelah ia dimuktamadkan.

“Semasa awal tahun ini, pendaftaran PADU itu tidak berkait dengan apa-apa program kerajaan, hanya untuk mendaftar, maka motivasi keluarga biasa atau orang awam (mungkin) agak rendah kerana mereka hendak tunggu dan lihat. Jadi sebab itu kita kena dapatkan kepastian program akhir yang akan diluluskan oleh kerajaan.

“Dan apabila perincian ini diumumkan, mereka yang belum mendaftar sudah tentu mahu mendaftar kerana kalau mereka tahu bahawa pengesahan kelayakan penerimaan subsidi RON95 itu berkait dengan data daripada PADU, kalau mereka tak daftar mereka ada risiko keciciran.

“Maka sebab itu keputusan ini perlu mendapat kelulusan daripada Kabinet, kemudian baru kita boleh umumkan bila buka semula (pendaftaran) dan sebagainya. Dari segi itu, sambutan pendaftaran di kalangan orang awam akan jadi lebih tinggi daripada sebelum ini,” ujarnya.

Mengulas berhubung pengkelasan T15, Rafizi berkata, setelah kriteria kelayakan diumumkan oleh kerajaan kelak, beliau berpendapat bahawa lebih ramai individu bakal mendaftar menerusi sistem tersebut.

“Tetapi selepas ini kalau dulu anggapan M40 ke atas tak dapat (subsidi), sekarang ini gambaran yang kerajaan berikan adalah T15 ke atas.

“Dan bila kriteria itu diumumkan setelah diluluskan oleh Kabinet, saya rasa akan lebih ramai lagi kumpulan yang merasakan mereka tak layak, mereka akan mendaftar kerana mereka tahu mereka akan dapat subsidi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya