PETALING JAYA: Farm Fresh Berhad sekali lagi dianugerahkan “Brand of the Year” dalam kategori Produk Tenusu pada majlis World Brand Award 2024-2025 yang diadakan di Tower of London, Central London pada 25 November lalu, selepas kemenangan mereka pada 2022.
Farm Fresh merupakan satu-satunya pemenang dalam kategori Produk Tenusu dari Malaysia yang dipilih untuk anugerah tahun ini dan dinilai secara unik melalui tiga elemen iaitu Penilaian Jenama, Penyelidikan Pasaran Pengguna dan Pengundian Dalam Talian Awam.
Sejak diasaskan pada 2009, Farm Fresh terus berkembang dan sudah menjadi salah satu jenama tempatan yang ikonik di Malaysia.
Dari permulaan yang sederhana pada 15 tahun lalu apabila mereka mengimport 60 ekor lembu Jersi Holstein dari Australia dan menubuhkan ladang di Mawai, Johor dengan misi untuk menawarkan produk tenusu yang berkualiti tinggi, bebas daripada pengawet dan bahan tambahan tiruan kepada rakyat Malaysia.
Komitmen terhadap kesegaran dan kualiti ini menjadi identiti mereka dan membezakan mereka daripada syarikat tenusu import yang bergantung kepada susu tepung sahaja.
Dengan sambutan dan sokongan dari Khazanah Nasional Berhad, Farm Fresh terus berkembang maju dari segi kapasiti pengeluaran dan mempelbagaikan rangkaian produk.
Ketua Pengarah Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal berkata, pihaknya amat terharu atas Anugerah World Branding Awards bagi ketegori Produk Tenusu dan akan meneruskan usaha untuk mengembangkan produk ke persada antarabangsa.
“Penghargaan dan ucapan terima kasih kepada panel juri dan pasukan World Branding Awards yang anugerahkan kami dengan kejayaan ini.
“Tidak lupa juga buat keluarga Farm Fresh dan pelanggan kami yang telah memberi sokongan yang padu sejak kami memulakan perniagaan,” katanya.
selain itu, Farm Fresh kini mengendalikan ladang tenusunya di Malaysia dan Australia serta merentasi lebih daripada lima ribu ekar tanah dengan jumlah saiz ternakan lebih daripada 11 ribu lembu tenusu dan lembu jantan.
Syarikat itu juga sudah memperkenalkan lebih 200 produk merentasi pelbagai jenama termasuk Farm Fresh, Master Barista, Henry Jones, Yarra Farm, Yarra by Farm Fresh dan Nubian Goat’s Milk, Jom Cha by Farm Fresh, St David Dairy (Australia) dan pemerolehan terbaru mereka, Inside Scoop dan Ais Krim Sin Wah.
Kehadiran Farm Fresh yang meliputi pelbagai segmen produk daripada produk susu segar dan susu sedia untuk diminum (RTD) kepada yogurt, susu berasaskan tumbuhan dan ais krim.
Kejayaan Farm Fresh dipacu oleh pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang membolehkan mereka memperkenalkan produk inovatif seperti susu kurma, susu tanpa laktosa dan susu badam serta Farm Fresh Grow untuk kanak-kanak bagi memenuhi keperluan pengguna yang semakin berkembang.
Farm Fresh juga sudah memperkenalkan pelbagai produk baharu termasuk susu Farm Fresh Grow dalam format susu tepung, susu organik Australia, aiskrim (CPG), minuman malt coklat dan susu kultur, mentega dan susu dewasa yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Setelah dikenali sebagai pengeluar produk tenusu bersepadu terbesar di Malaysia, Farm Fresh bersedia untuk mengembangkan lagi kehadiran mereka di rantau Asia Pasifik.
Kumpulan Farm Fresh Berhad kini mengeksport produk ke Singapura, Brunei dan Filipina dalam Asia Tenggara, manakala kilang mereka di Victoria, Australia juga mengeksport susu ke Timur Tengah.
Syarikat itu juga baru-baru ini memulakan operasi di kilang baharunya di Filipina bagi menghasilkan susu segar untuk wilayah Metro Manila.
Farm Fresh sangat aktif dalam usaha kemasyarakatan mereka dan ia bermula dengan menyediakan nutrisi yang baik kepada generasi akan datang.
Farm Fresh telah terlibat dalam Program Susu Sekolah sejak 2011 dan pada 2022, mereka telah mengagihkan lebih 65 juta pek susu sekolah kepada kira-kira 3,400 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang disokong oleh rangkaian peniaga rumah terdiri daripada lebih 2,000 usahawan mikro.
Selain itu, Farm Fresh telah menubuhkan pusat komuniti sebagai sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka iaitu Program Multidimensi bertujuan mendidik anak-anak tentang pemakanan.
Ladang Farm Fresh di Malaysia adalah ladang pertama di Asia yang menerima pengiktirafan Certified Humane® Raised and Handled® yang bermaksud produk tenusu yang datang dari ladang mereka memenuhi piawaian untuk penternakan secara berperikemanusiaan.
Selain itu, Farm Fresh juga dianugerahkan Anugerah Perniagaan Inklusif ASEAN pada 2020 atas sumbangannya dalam membangunkan usahawan mikro di Malaysia melalui rangkaian Peniaga Kecil mereka (Home Dealer), Anugerah ACES untuk Syarikat Berprestasi Terbaik Asia pada 2021 dan diiktiraf sebagai jenama nombor 1 di Malaysia dengan kemenangan anugerah Platinum di Putra Brand Awards dalam kategori Tenusu selama tiga tahun berturut-turut.
Ini merupakan bukti pengiktirafan oleh rakyat Malaysia atas usaha Farm Fresh untuk mempromosikan produk tenusu yang berkhasiat untuk penggunanya. – UTUSAN