KUALA LUMPUR: Pasangan pelakon terkenal, Farid Kamil dan Diana Danielle tiba di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, pagi ini bagi prosiding pengesahan rujuk dan sebutan pertama perceraian mereka.
Diana atau nama lengkapnya Diana Danielle Danny Beeson, 33, tiba di mahkamah dengan mengenakan jubah hitam bersama peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir sekitar jam 9.19 pagi.
Akberdin berkata, proses perceraian itu dimulakan dengan prosiding pengesahan rujuk.
“Kita akan teruskan dengan rujuk dan lihat kepada keputusan hakim berkenaan cerai. Kedua-dua belah pihak perlu hadir,” katanya ditemui di perkarangan mahkamah.
Sementara itu, Farid, 43, yang tiba bersama peguam syarie yang mewakilinya, Fakhrul Azman Abu Hassan memakai kurta serta songkok dengan lilitan reben putih.
Pada 4 November lalu, Diana hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan untuk memfailkan cerai buat kali kedua terhadap Farid.
Permohonan cerai difailkan Diana mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Berdasarkan dokumen diperoleh antara alasan dikemukakan untuk bercerai adalah sudah tiada persefahaman dan berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri.
Diana dan Farid juga dikhabarkan tidak lagi sebumbung kira-kira sebulan sebelum pelakon filem Imaginur itu memaklumkan nekad untuk bercerai menerusi sebuah hantaran di Instagram, pada 28 Oktober lalu.
Farid bagaimanapun enggan melepaskan isterinya dan mengakui berlakunya perselisihan faham kecil antara mereka.
Untuk rekod, Farid dan Diana bercerai talak satu namun mereka memilih untuk kembali rujuk selepas sebulan berpisah, pada 10 Ogos tahun lalu.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora yang kini berusia 9 tahun. -UTUSAN