KUALA LUMPUR: Penyanyi, Kugiran Masdo, tidak menafikan perasaan gugup boleh menjejaskan persembahan artis baik di atas pentas atau nyanyian program televisyen.
Tidak menafikan pernah berhadapan situasi sebegitu, Masdo bagaimanapun berlapang dada sekiranya tidak semua persembahan mereka memuaskan pendengar.
“Sebagai insan seni, tanggungjawab menghiburkan orang memang berat sebab tidak semua persembahan sempurna. Dalam 100 persembahan, tidak semuanya boleh jadi sempurna.
“Kena faham susah payah menghiburkan orang. Nama pun manusia, secara fitrahnya kita tidak sempurna.
“Sebenarnya sebelum persembahan kami kena betul-betul bersedia. Ada kalanya bila sudah bersedia, tetapi keadaan membuatkan jadi gugup.
“Berada atas pentas ‘feel’ lain, boleh jadi gugup atau takut hingga mengganggu emosi. Tambahan pula menyanyi depan kaca televisyen,” kata vokalis, Ali Sariah mewakili Masdo.
Mengulas mengenai video persembahan penyanyi, Fazura, di Indonesia yang tular baru-baru ini, Masdo bagaimanapun berharap agar penyanyi itu tidak patah semangat untuk bernyanyi lebih baik.
“Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
“Sedikit sebanyak memang tercalar, tapi kena kuat semangat dan jadikan ia satu sebab untuk jadi lebih baik.
“Perkara yang baik kita ambil yang buruk kita jauhkan, jadikan perkara itu pengajaran untuk semua,” tambahnya.
Ali ditemui Utusan Malaysia di sidang media Konsert One Love Music 2024 di IPC Cornerstone, Kuala Lumpur pada Rabu.
Terdahulu, persembahan Fazura semasa menyanyikan lagu terbaharunya ‘Bertahan Demi Cinta’ di Indonesia mendapat kritikan ramai.
Dalam perkembangan lain, Masdo bakal tampil di Konsert One Love Music 2024 yang bakal diadakan di Maeps, Serdang, Selangor pada 21 Disember depan.
Selain Masdo, turut beraksi pada konsert berkenaan adalah Bunkface, Hujan, Drama Band, 53 Universe, Insomniacks dan Gerhana Ska Cinta.
Bukan itu sahaja, penyanyi dari seberang Feby Putri, Nadin Amzah, Nabila Taqiyyah dan Salma Salsabil akan turut memeriahkan acara.