‘Exit policy’ kuarters kerajaan harus dipermudah - Zaliha

‘Exit policy’ kuarters kerajaan harus dipermudah – Zaliha

ZALIHA MUSTAFA- JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) sedang meneliti cadangan untuk menetapkan dasar baharu berkaitan tempoh penjawat awam menduduki kuarters kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, sekiranya ‘exit policy’ ingin dirangka, ia seharusnya dilaksanakan secara mudah iaitu seperti menetapkan tempoh maksimum 10 tahun untuk menghuni.

“Namun perlu ada pertimbangan khas bagi penghuni yang mempunyai keperluan tertentu, seperti faktor kesihatan atau perancangan untuk bersara dan kembali ke kampung halaman. 

“Golongan ini wajar diberi kelonggaran untuk terus mendiami kuarters tanpa had masa yang tertentu.

“Pada masa ini, dasar keutamaan yang sedia ada memberi perhatian khusus kepada penjawat awam yang menghadapi musibah atau tergolong dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU) untuk menerima tawaran menduduki kuarters dengan lebih awal,” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau diwakili Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bagi menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai adakah kerajaan akan memperkenalkan ‘exit policy’ kepada penghuni kuarters.

Roslan turut mengajukan sama ada kerajaan mempertimbangkan pembinaan lebih banyak rumah Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) untuk menggalakkan penghuni kuarters terutamanya yang menetap melebihi 10 tahun memiliki rumah sendiri bagi memberi peluang kepada penjawat awam baharu ditawarkan kuarters dan meringankan beban sewa.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata, kerajaan juga telah melaksanakan program PPAM untuk membantu penjawat awam khasnya yang berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah kediaman di seluruh negara terutamanya di bandar-bandar utama.

“Melalui inisiatif PPAM, sehingga kini seramai 36,479 penjawat awam telah menandatangani Perjanjian Jual Beli. Daripada jumlah ini, 87 peratus pembeli, iaitu 31,942 orang adalah penjawat awam berpendapatan di bawah RM5,000 sebulan.

“Data ini menunjukkan bahawa kumpulan penjawat awam yang disasarkan telah menerima manfaat dan faedah daripada pelaksanaan program PPAM,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya