ARAU: Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli memberi jaminan barisan Exco kerajaan negeri termasuk yang baharu dilantik akan dikekalkan sehingga berakhirnya penggal pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perlis.
Situasi tersebut berbeza berbanding sebelum ini di mana kerajaan negeri akan membuat lantikan baharu pada setiap tahun bagi memperbaharui tugas Exco terlibat.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, selain itu, bekas-bekas Exco yang digugurkan juga tidak akan dipinggirkan dan pengalaman mereka masih diperlukan khususnya dalam jawatankuasa-jawatankuasa dibentuk kerajaan negeri.
“Kita tak pinggirkan sahabat kita (bekas Exco) dan mereka akan ada untuk bantu dalam portfolio-portfolio tertentu antaranya seperti pelaburan.
“Ini kerana kita masih banyak pelaburan belum masuk sedangkan ramai anak muda negeri ini memerlukan peluang pekerjaan dan itu kita harap dapat ditingkatkan selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatankuasa Ahli-Ahli Majlis
Mesyuarat Kerajaan Negeri di Bilik Hijau, Istana Arau di sini, hari ini.
Dalam rombakan tersebut, dua Exco kerajaan negeri dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digugurkan dengan dilantik tiga Exco baharu.
Mereka yang digugurkan itu ialah Megat Hashirat Hassan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh dan Wan Zikri Afhtar Ishak juga merupakan ADUN Tambun Tulang yang sebelum ini masing-masing memegang portfolio Kesihatan serta Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan negeri.
Tiga wakil rakyat baharu yang dilantik itu pula adalah ADUN Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah yang juga merangkap Pengerusi Bersatu negeri, ADUN Sena, Datin Marzita Mansor dan ADUN Guar Sanji dari Pas, Mohd Ridzuan Hashim.
Mengulas lanjut, Mohd. Shukri berkata, pihaknya berharap Exco baharu yang dilantik dapat bekerja dengan lebih mantap dan agresif sebagai mana titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
“Perlis ini adalah negeri kecil dan mudah diuruskan malah saya juga harap hubungan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan akan lebih dekat selepas ini,” katanya. – UTUSAN