Erysha Emyra faham ibu sunyi, tidak halang jumpa jodoh baru - Utusan Malaysia

Erysha Emyra faham ibu sunyi, tidak halang jumpa jodoh baru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Erysha Emyra tidak menghalang ibunya, Datin Seri Noniswara, untuk bertemu jodoh baru sejak pemergian bapa tirinya, Datuk Seri Dr. Sheikh Nordin Sheikh Ahmad, setahun lalu.

Sebagai anak, Erysha faham akan keadaan ibu yang kesunyian dan memerlukan teman dalam hidupnya.

“Sebenarnya saya tidak mahu komen banyak, tapi saya tahu mungkin hati dia masih sedih. Kadang-kadang dia telefon anak-anak, kata rasa sunyi.

“Sebelum ini dia memang selalu luangkan masa dengan arwah suami. Sekarang, dia cuba untuk sibukkan diri dengan keluar bersama anak-anak, kawan atau sibukkan diri buat kerja rumah,” katanya.

Erysha berkata demikian ketika ditanya mengenai perkongsian ibunya di media sosial mengatakan dirinya belum sedia membuka hati walaupun sudah menerima banyak lamaran lelaki.

Bagaimanapun, Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular ke-36 itu juga mengatakan, dia dan adik-beradik tidak pernah menghalang sekiranya ibunya mahu bertemu cinta yang baru.

“Sudah tentu (izinkan kahwin) sebab siapa kita untuk menolak jodoh. Kalau memang betul ada jodoh, ada orang datang melamar dan mahu jaga dia, siapa kita untuk menolak.

“Cuma sebagai anak, kami mahu kenal dulu. Orang itu perlu jumpa kami dan duduk berbual sama. Kalau kami rasa okay, okay la,” ujarnya.

Erysha ditemui Utusan Malaysia di sidang media tiga buah drama terbitan Astro iaitu Curang Tanpa Niat, Rahsiamu Selamat Denganku dan Opis Politik di Zebra Square, Kuala Lumpur pada Selasa.

Bagaimanapun, pelakon Cinta Untuk Sekali Lagi itu bersyukur kerana ibunya semakin baik menyesuaikan diri dengan kehidupan selepas kehilangan suami.

“Kami ada berkongsi cerita, dia ada jelaskan perasaan dia sekarang. Saya rasa makin lama, dia sudah okay dan menyesuaikan diri dengan kehidupan baru.

“Kita tahu dia pernah bercerai, tapi ini kali pertama dia kehilangan suami disebabkan kematian.

“Jadi benda itu berbeza untuk dia kerana tidak boleh lagi bercakap orang itu. Saya rasa dia sedang melalui fasa yang berbeza,” tambahnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN