Tiket konsert Ernie Zakri habis 'licin'

Tiket konsert Ernie Zakri habis ‘licin’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sudah menjadi lumrah, setiap artis yang bergelar penyanyi pasti mahu mengadakan sebuah konsert supaya dapat menyajikan persembahan dengan lebih intimate kepada peminat.

Tidak kira sama ada berskala besar ataupun kecil, konsert yang dijayakan oleh seseorang penyanyi itu pasti akan dihargai oleh ratusan mahupun ribuan peminat setia mereka.

Begitu juga dengan penyanyi, Ernie Zakri yang sebelum ini terharu apabila tiket konsert sulungnya, Aura: Ernie Zakri Live in Concert mendapat sambutan yang baik sehingga tiketnya habis terjual dalam masa tujuh jam.

Menurut Ernie, konsert sulungnya itu merupakan hadiah buat peminatnya yang sering menghargai perjalanan dan susah payahnya mencipta tempat dalam industri seni tanah air yang kini sudah lebih satu dekad itu.

“Alhamdulillah, inilah rezeki saya. Perjalanan yang sangat indah untuk saya. Banyak benda yang saya nak capai. Tapi banyak cabaran yang kita lalui. Inilah hadiah yang nak diberikan untuk saya.

“Apa yang saya bakal janjikan adalah saya hanya menjadi Ernie Zakri di atas pentas. Saya percaya peminat yang datang nak tengok saya.

“Ketika itu kalau saya nyanyikan dalam versi apa pun saya tetap menjadi diri sendiri. Alhamdulillah, peminat saya juga sangat menghargai apa yang saya berikan kepada mereka,” jelasnya.

Ditanya mengenai kerisauan terbesarnya menjelang konsert, Ernie memberitahu dia hanya berharap setiap mesej yang disampaikan ketika itu memberi impak kepda penonton yang hadir.

“Bukan tidak ada rasa risau langsung. Tapi saya harap apa yang saya buat atas pentas itu orang faham dan boleh relate.

“Bila mereka pulang mereka ada harapan baru. Sebab album Aura ini berkisarkan kehidupan semua orang bukan saya sahaja. Jatuh bangun dan kebangkitan,” ujarnya.

Kejutan buat peminat di Singapura
Ernie ketika ditemui Utusan Malaysia turut berkongsi khabar gembira bahawa dia bakal mengadakan konsert di Singapura.

Kata penyanyi lagu Gundah itu, dia sangat teruja untuk bertemu dan memberikan persembahan yang terbaik untuk peminatnya di sana.

“Konsert di Singapura juga di bawah penganjur yang sama, SAH Entertainment. Ada juga peminat saya di sana yang nantikan kemunculan saya di sana. Ada juga peminat yang tidak dapat datang untuk lihat konsert saya di sini.

“Bila berbincang dengan penganjur, saya bersetuju untuk buat konsert di sana. Setakat ini, lokasi dan tarikh pun masih belum ditentukan lagi.

“Sekarang pun ada rakan-rakan yang lain dah buat di sana. Jadi saya kata apa salahnya. Kalau saya tak pergi pula macam tak seronok. Orang lain dah pergi, saya belum pergi,” jelasnya.

Melihat kejayaan sesetengah penyanyi yang kerap mengadakan konsert dalam jangka masa yang singkat, Ernie berpendapat setiap penghibur mempunyai cara tersendiri dalam mengekalkan eksklusiviti diri.

Namun, penyanyi lagu Jangan Hilang Percaya itu menyatakan dengan kejayaan perancangan untuk anjurkan dua konsert pada tahun hadapan, dia terbuka saja dengan rezeki yang telah ditentukan untuknya.

“Terpulang kepada apa yang ingin dicapai oleh artis itu sendiri. Mungkin ada artis dia jadi penyanyi sebab dia suka buat konsert. Tetapi, konsert ini saya letak dalam fikiran saya ini adalah platform untuk bagi hadiah untuk peminat.

“Bukan senang nak menyanyi secara langsung untuk mereka. Kalau nak buat selalu pun tak apa. Tak nak buat selalu pun tak apa. Untuk saya, kalau tahun depan dah buat dua kali, saya rasa cukup dua konsert sahaja.

“Saya terbuka sahaja. Rezeki dan perjalanan orang berbeza-beza. Ada yang nak buat konsert setiap lima tahun. Saya terbuka sahaja kepada sebarang tawaran. Kalau tak ada pun tak apa saya pun ada banyak benda nak bagi untuk peminat saya selain konsert,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN