KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Engku Faridah dimasukkan ke sebuah hospital selepas mengalami kecederaan pada bahagian leher akibat terjatuh tandas.
Perkara itu telah dimaklumkan oleh pelakon, Sharifah Shahora menerusi sebuah hantaran di Instagram selain mendoakan pelakon yang lebih mesra disapa Mak Engku itu cepat sembuh.
“Semoga Mak Engku Faridah diberikan kesembuhan. Tulang leher Mak Engku patah disebabkan jatuh tandas,” katanya.
Dalam perkongsian sama, Shahora yang hadir bersama pelakon, Datin Nina Juren turut memaklumkan Mak Engku kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.
“Datin Nina Juren dan Tan Sri Hadith Omar datang terus mak sihat sikit. Kepada yang mahu melawat Mak Engku, dia berada di Hospital Sungai Buloh,” jelasnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata rakan selebriti dan peminat turut mendoakan agar pelakon drama Takdir Itu Milik Aku itu diberikan kesembuhan.
“Semoga diberikan kesembuhan dan diberikan rahmat Mak Engku. Amin. Kirim salam dekat Mak Engku ya,” komen pelakon, Jue Aziz.
“Ya Allah, mak. Semoga cepat sembuh saya doakan,” komen Zarina Zainuddin.
“Semoga cepat sembuh,” kata Shamsul Ghau Ghau. -UTUSAN