PETALING JAYA: Polis menahan seramai enam individu termasuk seorang wanita dipercayai terlibat dalam kes curi kereta jenis Ferrari dianggarkan bernilai RM300,000 di Hulu Kelang dekat sini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada seorang ahli perniagaan berusia lingkungan 50-an berkaitan kehilangan kenderaan terbabit pada 17 November.
Katanya, ketika kejadian, kenderaan terbabit dihantar di pusat mencuci kenderaan di Hulu Kelang dekat sini sebelum dikesan hilang dipercayai telah dicuri.
“Susulan itu, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ampang Jaya telah menahan empat lelaki berusia antara 23 hingga 33 tahun di Ampang pada 17 November lalu.
“Pihak polis turut menahan seorang lelaki berusia 38 tahun pada 20 November lalu serta seorang wanita berusia 40-an hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, menurut beliau, kenderaan tersebut telah ditemukan di tempat meletak kenderaan di sebuah apartment di Taman Tunku dekat sini pada 23 November lalu.
Jelasnya, siasatan lanjut mendapati kenderaan terbabit telah ditukar nombor plat palsu.
“Kesemua suspek kini direman dan siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan berkaitan kes berkenaan,” katanya.- UTUSAN