KUALA TERENGGANU: Enam Ketua Bahagian Bersatu di Terengganu berjaya mengekalkan jawatan mereka dalam pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini.
Jurucakap Jawatankuasa Pemilihan Parti negeri (JPPN) Terengganu berkata, ketua bahagian tersebut iaitu Dungun, Marang, Kuala Nerus, Setiu, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu berjaya mencatatkan kemenangan tanpa bertanding.
Sementara itu, menurutnya, jawatan Ketua Bahagian Kemaman dan Besut pula menampil muka baharu yang diisi oleh timbalan setelah memperoleh kemenangan jawatan baharu itu juga tanpa bertanding.
Katanya, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris telah berjaya mengekalkan jawatannya di bahagian Marang.
“Razali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal turut bertanding jawatan Naib Presiden Bersatu dalam pemilihan peringlat Pusat kali ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, ketua-ketua bahagian lain yang menang tanpa bertanding ialah Ketua Bahagian Bersatu, Datuk Abdul Aziz Ismail di bahagian Dungun, ADUN Seberang Takir, Khazan Che Mat (Kuala Nerus,) ADUN Permaisuri, Mohd. Yusop Majid (Setiu) dan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan Badrolhisham Mohamed @ Shafie (Kuala Terengganu).
Sementara itu, tambahnya, jawatan ketua bahagian di Besut dan Kemaman pula menampilkan muka baharu setelah dimenangi bekas timbalan di kedua-dua bahagian tersebut
“Di Besut bekas Timbalan Ketua Bersatu Bahagian, Datuk Wan Mohd. Ariff Rashiddin Wan Jusoh menang tanpa bertanding jawatan itu selepas penyandangnya yang juga ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin memberi laluan kepadanya kerana mahu memberi fokus untuk bertanding jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
“Di Kemaman pula, bekas Timbalan Ketuanya, Mohd Zawawi Ahmad turut diumumkan menang tanpa bertanding susulan tiada pencabar bagi menggantikan kekosongan jawatan Ketua, Datuk Seri Wan Marzuki Wan Sembok yang meninggal dunia Disember tahun lalu,” ujarnya.
Seramai 150 calon menawarkan diri untuk bertanding pelbagai jawatan, termasuk timbalan dan ahli jawatankuasa pada sesi pemilihan di lapan bahagian di negeri Terengganu kali ini. – UTUSAN