PETALING JAYA: Empat sekeluarga terselamat dalam kebakaran di rumah kedai di Jalan Sungai Chua, Kampung Sungai Chua, Kajang awal pagi ini.
Kesemua mereka masing-masing terdiri dua lelaki dan wanita berusia 27 hingga 58 tahun yang terperangkap di bawah premis berkenaan dapat menyelamatkan diri hasil tindakan pantas bomba membuka pintu rumah kedai berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 3.28 pagi.
Menurut beliau, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang dibantu BBP Bangi, BBP Bandar Tun Hussein Onn dan Pasukan Bomba Sukarela Bangi dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, di dapati satu unit rumah kedai dua tingkat terbakar di bahagian atas dan bawah, sebanyak 75 peratus.
“Turut terbakar, tiga unit kedai berkembar yang terbakar 90 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihak bomba kemudian terus membuka pintu menggunakan alat pemotong sebelum membawa keluar mangsa.
“Mereka yang terselamat itu merupakan pasangan suami isteri dan anaknya yang tinggal di bahagian belakang kedai basikal.
“Mereka kemudian dibawa ke hospital dengan ambulans selepas mengalami sesak nafas,” jelasnya.