PETALING JAYA: Empat anggota polis ditahan dipercayai terlibat dalam kes mencuri barang kemas milik seorang wanita warga tempatan yang ditemukan meninggal dunia pada 1 Oktober lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kecurian barang kemas daripada bapa mangsa pada 8 Oktober lalu.
Katanya, pada awalnya kes berkenaan diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP).
“Bagaimanapun, selepas memperoleh beberapa keterangan, polis mengklasifikasikan semula kes di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
“Susulan itu, kita menahan empat anggota polis berpangkat konstabel hingga koperal di sekitar Setapak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kesemua tangkapan berusia 28 hingga 35 tahun itu direman selama tiga hari bermula semalam sehingga esok untuk membantu siasatan.
Turut dirampas sekeping resit dan seketul logam berwarna kekuningan dengan anggaran berat 11.52 gram.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki mendakwa barang kemas dipakai anak perempuannya yang ditemukan meninggal dunia dalam kereta di parkir sebuah kondominium di Setapak di sini pada 1 Oktober lalu, hilang.
Menurutnya, berdasarkan gambar daripada bomba, terdapat rantai serta gelang emas dipakai anaknya sebelum jenazah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Bagaimanapun, barang kemas itu didapati hilang selepas proses bedah siasat selesai. – UTUSAN