Seramai empat murid Sekolah Kebangsaan (SK) Darulaman Heights yang mewakili Malaysia dalam Pertandingan World Mathematics & Science Olympiad (WMSC) di Bogor, Indonesia baru-baru ini mencatat kejayaan membanggakan apabila muncul sebagai pasukan terbaik keseluruhan bagi kategori sains sekolah rendah.
Menurut guru pengiring, Norlailawati Abd. Razak, kejayaan itu menjadi lebih manis dengan keupayaan anak-anak buahnya meraih tiga emas dan satu perak dalam kategori kuiz sains yang dilaksanakan secara individu.
Katanya, pencapaian itu sesuatu yang tidak dijangka memandangkan ini kali pertama guru dan murid daripada sekolah berkenaan mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.
“Dalam kejohanan yang berlangsung pada 1 hingga 4 November lalu, Malaysia menghantar 24 peserta dengan lapan daripadanya berasal daripada Kedah termasuk empat murid sekolah ini.
Pertandingan itu disertai peserta daripada lima buah negara iaitu Malaysia, Bulgaria, Indonesia, Vietnam dan Filipina.
“Malaysia berjaya merangkul semua kejayaan dipertandingkan dengan empat murid sekolah ini cemerlang meraih anugerah pasukan terbaik keseluruhan bagi kategori sains sekolah rendah. Lebih membanggakan, seorang daripada pelajar yang kami bawa ke sana baru berusia 11 tahun iaitu Ahmad Hafiy Ukashah Khairul Faizi dan dia berjaya meraih pingat perak bagi kuiz individu kategori sains sekolah rendah,” katanya ketika ditemui Utusan Pelajar.
Tiga lagi murid daripada sekolah tersebut yang mewakili negara dan berjaya meraih pingat emas kategori sama adalah Airell Qhaliff Zubir, Eishan Elias Rosidi dan Mohamad Wafiy Mohamad Shahizan yang kesemuanya berusia 12 tahun.
Sementara itu seorang lagi guru pengiring, Faizah Romli berkata, pelajar tersebut tidak hanya cemerlang dalam kuiz melibatkan soalan akademik malah turut membanggakan negara menerusi persembahan silat bersama busana tradisi Melayu yang meraih perhatian umum.
“Dari segi akademik, mereka berdepan cabaran besar kerana soalan ditanya berdasarkan silibus sekolah menengah bagi tingkatan satu, dua dan tiga tetapi mereka tetap berjaya selesaikan dengan cemerlang.
“Dalam masa sama, setiap kumpulan juga perlu mempersembahkan kebudayaan negara masing-masing dan keempat-empat peserta ini berjaya menampilkan aksi silat bertenaga, lengkap berbusana tradisi,” katanya.
Dalam pada itu, Guru Besar SK Darulaman Heights, Mafezzul Mohamad berkata, kejayaan itu amat membanggakan apatah lagi murid terlibat hanya membuat persiapan tidak sampai dua minggu sebelum bertolak ke Indonesia.
Malah katanya, kerjasama ibu bapa juga wajar dipuji kerana ada antara mereka sanggup mengeluarkan belanja bagi memberi semangat selain membantu guru-guru mempersiapkan murid berdepan pertandingan itu.
“Kejayaan mereka menghasilkan keputusan cemerlang di sebalik persiapan singkat dilakukan jelas menampakkan kesungguhan serta komitmen para guru dan murid.
“Saya berbangga dengan kesemua mereka dan kami memiliki perancangan untuk memperkasakan lagi program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di sekolah ini. Kami juga mahu mendorong mereka menguasai bidang robotik dan menyediakan pasukan untuk menyertai pertandingan melibatkan bidang itu termasuk di peringkat antarabangsa pada masa depan,” katanya. – UTUSAN