SEREMBAN: Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) akan bekerjasama dengan Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia untuk menawarkan program ijazah sarjana muda (BBA) dan Ijazah sarjana (MBA) yang memberi tumpuan kepada pengurusan, kepimpinan organisasi, dan penguatkuasaan undang-undang.
Naib Canselor ELMU, Prof. Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed berkata, PBS dipilih oleh ELMU kerana program MBA yang ditawarkannya diiktiraf sebagai antara yang terbaik dalam QS Global MBA Rankings.
Katanya, program itu juga telah memperoleh akreditasi daripada Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB), satu pencapaian yang hanya dimiliki oleh lima peratus universiti di seluruh dunia.
“Saya amat berbangga kerana inisiatif ini dilakukan dalam bidang tadbir urus, integriti dan kepimpinan dalam penguatkuasaan undang-undang, yang kini semakin mendapat permintaan tinggi dan diminati oleh banyak pihak.
“Kami berharap dapat melahirkan pemimpin masa depan dalam bidang penguatkuasaan undang-undang serta meningkatkan lagi profesionalisme penguatkuasaan undang-undang di negara ini,” katanya
ketika majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara ELMU dengan PBS di kampus ELMU di Bandar Enstek di sini, hari ini.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PBS, Prof. Dr. Azmawani Abd. Rahman berkata, kerjasama dengan ELMU selaras dengan Pelan Strategik PBS untuk meningkatkan kecemerlangan pelajar melalui penambahbaikan kandungan kurikulum dengan penglibatan industri.
“Kami berharap kerjasama dengan ELMU akan memperkasakan lagi fakulti dan para pelajar kami. ELMU telah muncul sebagai sebuah institusi terkemuka yang khusus dalam bidang penguatkuasaan, kepimpinan dan pengurusan, dengan visi yang hampir serupa dengan visi PBS sendiri.
“Perkongsian ini bukan sahaja akan mewujudkan peluang untuk inisiatif penyelidikan bersama dan kolaborasi akademik tetapi turut membuka pintu untuk pelajar kami menimba pengalaman transformatif,” katanya. – UTUSAN