PETALING JAYA: Ekonomi dan peluang pelaburan yang menjadi keutamaan kerajaan merupakan antara usaha bagi melonjakkan negara dan kesejahteraan rakyat ke tahap membanggakan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau teruja kerana Malaysia diberi ruang di pelbagai platform antarabangsa yang mana pendirian dan ketegasan negara berjaya dilontarkan dengan baik sekali gus mencerminkan hasrat dan nurani rakyat.
Beliau kemudian merakamkan perhargaan rakyat yang sentiasa menyunting semangat untuk pentadbirannya agar terus bersungguh mengejar kejayaan buat rakyat dan negara.
“Alhamdulillah, saya telah selamat tiba di tanah air lewat pagi tadi. Barisan delegasi dan saya begitu teruja saat Malaysia diberi ruang di pelbagai platform antarabangsa di mana pendirian dan ketegasan negara berjaya dilontarkan dengan baik yang mencerminkan hasrat dan nurani rakyat.
“Tentunya ekonomi dan peluang pelaburan yang menjadi keutamaan terutamanya sebagai usaha bagi melonjak negara dan tahap kesejahteraan rakyat ke tahap yang membanggakan,” katanya dalam Facebook hari ini.
Terdahulu, Anwar tiba Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang hari ini selepas melengkapkan lawatan rasmi ke empat negara bermula Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil sejak 9 November lalu.
Dalam rangka lawatan tersebut, Anwar mengetuai delegasi Malaysia antaranya ke Minggu Pemimpin Ekonomi (AELW) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-31 di Peru dan Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Brazil.
Pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi, Anwar menyeru masyarakat dunia untuk membina kesepakatan bagi menggantung atau menyingkirkan Israel daripada keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam lawatan itu, Perdana Menteri turut membawa pendirian Malaysia dalam memperjuangkan keadilan untuk Palestin serta mengecam kekejaman Israel di persada dunia selain menekankan bahawa Putrajaya tidak pernah mengiktiraf kewujudan negara Israel secara diplomatik.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, usaha Malaysia tidak terhenti disitu, malah akan terus perhebatkan ketegasannya agar keadilan terpacul dan hak asasi manusia kembali dihormati terutamanya di bumi Palestin.
“Sejumlah pertemuan bersama beberapa pemimpin dunia turut dimanfaatkan untuk mengangkat nasib warga Palestin yang terus dibedil rejim Israel yang ganas dan biadab,” katanya.
Katanya, kerajaan akan terus bekerja untuk memacu pertumbuhan lebih tinggi untuk manfaat rakyat,
“Insya-Allah, kita akan terus bekerja dan tidak akan sesekali meremehkan harapan rakyat yang menggunung.
“Terima kasih kepada semua yang hadir di Kompleks Bunga Raya dan juga yang ramai bersama di tapak Petronas. Dukungan rakyat akan sentiasa menyunting semangat untuk terus bersungguh mengejar kejayaan buat rakyat dan negara,” katanya.-UTUSAN