KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berkembang 5.3 peratus pada suku ketiga 2024 berbanding 5.9 peratus pada suku kedua tahun ini, didorong oleh aktiviti pelaburan yang kukuh dan peningkatan
eksport yang berterusan.
Pertumbuhan itu menunjukkan ekonomi negara berada pada landasan tepat, didorong peningkatan ketara dalam aktiviti pelaburan keseluruhan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga itu turut disokong oleh eksport barang dan perkhidmatan yang lebih tinggi.
“Pembesaran dalam perbelanjaan isi rumah berikutan keadaan pasaran buruh yang positif dan sokongan dasar.
“Faktor yang memberi kesan kepada pertumbuhan pengeluaran minyak dan gas yang lebih rendah disebabkan oleh aktiviti penyelenggaraan,” katanya dalam sidang media Prestasi Ekonomi Suku Ketiga 2024 di Sasana Kijang hari ini.
Sementara itu, import juga berkembang pada kadar yang lebih pantas, berikutan permintaan barangan modal dan barangan perantaraan yang kukuh untuk menyokong peningkatan pelaburan dan perdagangan.
Dari segi penawaran, kebanyakan sektor terus menyokong pertumbuhan, khususnya, peningkatan dalam sektor perkilangan didorong oleh kelompok berorientasikan eksport.
Walau bagaimanapun, pertumbuhan sebahagiannya diimbangi oleh aktiviti penyenggaraan dalam sektor perlombongan.
Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, momentum pertumbuhan menjadi sederhana kepada 1.8 peratus berbanding 2.9 peratus pada suku kedua tahun ini.
Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2 peratus bagi tiga suku pertama tahun 2024. – UTUSAN