EAIC terus bongkar isu integriti penjawat awam terutama rasuah - Utusan Malaysia

EAIC terus bongkar isu integriti penjawat awam terutama rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) terus membongkarkan kes baharu melibatkan integriti penjawat awam terutama membabitkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa sepanjang dua tahun pentadbiran Kerajaan Madani.

Pengerusi EAIC, Tan Sri Dr. Ismail Bakar berkata, ia susulan langkah tegas dan agresif dilakukan pihaknya seiring pendirian pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang komited memerangi rasuah.

Menerusi tindakan itu, beliau akui ia sememangnya memberi kesan ketara apabila kes integriti direkodkan pihaknya menunjukkan peningkatan trend kes rasuah sepanjang dua tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

“Pada pendapat saya, tidak boleh untuk mengatakan kes rasuah atau kes integriti meningkat. Tetapi mungkin ia disebabkan sekarang kita agresif menangani isu rasuah seperti yang dijanjikan oleh kerajaan bahawa kita akan menghapuskan rasuah di seluruh peringkat.

“Jadi, kita melihat usaha berterusan ini menyebabkan kes berkenaan meningkat. Justeru, kita menemukan banyak kes baharu seperti isu integriti.

“Kadang-kadang isu integriti ini tidak semestinya melibatkan isu rasuah tetapi menyalah guna kuasa juga satu amalan integriti yang tidak baik,” katanya ketika ditemui di Program 2 Tahun Kerajaan MADANI di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Bakar turut mengesahkan 10 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan skandal visa perubatan untuk membawa masuk warga asing.

Namun, beliau tidak dapat mengulas lanjut kerana bimbang ia boleh menjejaskan siasatan yang dijalankan.

“Saya tidak boleh ulas terlebih dahulu kerana ia masih dalam siasatan. Jadi kita tunggu siasatan selesai. Ya, menjurus kes (visa perubatan untuk membawa masuk warga asing),” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan akan memanggil lebih ramai pegawai JIM berkaitan kes tersebut berdasarkan keperluan semasa dan hala tuju siasatan.

“Itu mungkin dari semasa ke semasa. Ikut bagaimana hasil siasatan yang kita buat,” katanya.

Mengulas mengenai 500 murid sekolah menggunakan sempadan haram dari wilayah Thailand itu ke Rantau Panjang, Kelantan, beliau berkata,  agensi penguat kuasa undang-undang seharusnya berani melaksanakan pengawalan dengan lebih cekap dan teratur tanpa kompromi.

“Ketegasan dalam melaksanakan penguatkuasaan tanpa kompromi adalah tindakan lebih penting. Kita melihat isu di sempadan ini (Sungai Golok-Rantau Panjang) adalah isu tradisional. 

“Memang sudah lama kerana ia wujud sebelum negara mencapai kemerdekaan, terutama mengenai kemudahan-kemudahan yang ada di sempadan.

“Sejak 1980-an lagi kita telah memikirkan mengenai keperluan untuk membuat tembok di kawasan sempadan tetapi disebabkan kos yang tinggi dan mungkin agak sukar untuk dilaksanakan serentak. Keperluan utama untuk membina tembok selain meningkatkan peruntukan kepada agensi penguat kuasa,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, beliau tidak menafikan isu antara dua wilayah itu sudah lama berlaku berpunca perkongsian budaya sama antara penduduk di wilayah Thailand-Malaysia.

Bagaimanapun, beliau menegaskan ia tidak bermaksud negara harus mengetepikan kepentingan keselamatan dan kedaulatan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya