"Dunia hiburan mengecewakan, tidak hargai bakat, kebolehan" - Utusan Malaysia

“Dunia hiburan mengecewakan, tidak hargai bakat, kebolehan”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Jujur cakap, saya kecewa dengan dunia hiburan kita.”

Demikian luahan penyanyi berbakat besar, Vanessa Reynauld yang tidak mampu menyembunyikan rasa terkilannya terhadap industri seni tempatan.

Kata Vanessa, dia hampir hilang semangat apabila berdepan senario dunia seni yang seakan condong mengukur rupa paras, populariti dan cerita sensasi berbanding bakat dan kebolehan seseorang artis.

Mungkin kali ini penyanyi bervokal hebat itu merasakan dia perlu bersuara, meluahkan segala yang terbuku dalam hatinya.

“Lapan tahun saya berkecimpung dalam dunia nyanyian, bermula dengan menyertai program Ceria Pop Star pada usia 15 tahun.

“Hari ini saya masih berdepan jalan sukar untuk menonjol. Saya keliru, kenapa susah sangat untuk orang memberikan sokongan kepada saya? Bakat sudah ada bukan?

“Bakat saya tidak dihargai atau mungkin orang terlepas pandang? Jujur saya letih, terpaksa akur dengan kehendak pasaran hiburan tempatan.

“Ya, saya sangat kecewa. Bakat bukan perkara utama yang orang pandang, lebih mencari sensasi dan kontroversi. Mungkin cerita-cerita peribadi artis lebih terjual berbanding kisah pencapaian dan kejayaan,” luahnya.

Vanessa menyertai Ceria Pop Star pada tahun 2015 dan pernah mengisi kerusi mentor untuk program Ceria Megastar Ministar yang ditayangkan di Astro Ceria pada tahun 2019.

Anak kepada pasangan Ben Reynauld dan Elizabeth Lee ini pernah hadir dengan tiga buah single antaranya Kelmarin, Putus dan Andai Itu Takdirnya.

Kata penyanyi berusia 24 tahun ini lagi, dia sedar, mungkin perbezaan ketara dari segi penampilan dan pilihan muzik membuatkan dia sukar menyerlah.

“Masyarakat Malaysia mungkin tak biasa melihat penyanyi seperti saya yang daripada sudut penampilan dan arah tuju muzik lebih bersifat kebaratan.

“Iyalah, saya akui perkara itu kerana ketika membesar, saya bercita-cita mahu menjadi penyanyi Malaysia yang menyerlah di peringkat antarabangsa. Konon mahu menjadi seperti idola saya, mendiang, Whitney Houston.

“Dalam masa yang sama, saya juga sedar bahawa matlamat itu masih terlalu jauh untuk saya capai.

“Tapi saya tahu saya boleh realisasikannya satu hari nanti. Tak mengapalah kalau sekarang orang tak hargai kehadiran saya dalam dunia muzik tempatan. Mungkin tunggu terkenal satu dunia barulah orang nak pandang,” kongsinya lagi.

SUDAH-SUDAHLAH BAWA LAGU BALADA
Dalam menempuhi jalan sukar untuk dikenali, putus asa itu belum tertulis dalam kamus hidup seorang Vanessa Reynauld.

Katanya, dia harus berpijak di bumi nyata, perlu terus mencari jalan untuk memenangi hati peminat muzik tempatan agar bakat dan kehadirannya dalam dunia seni diterima baik.

“Saya perlu cuba sesuatu yang baharu. Sudah-sudahlah bawakan lagu balada. Bukan mahu menolak terus genre itu, tapi saya rasakan saya perlu cuba genre yang lain.

“Nama saya masih belum kukuh. Inilah masanya untuk saya bereksperimentasi, mencorak hala tuju sebenar muzik saya.

“Saya masih mencari genre yang membuatkan orang kenal Vanessa Reynauld. Kalau ikutkan saya condong ke arah genre R&B. Tetapi pada saya, bukan semua orang Malaysia boleh menerima genre berkenaan.

“Sekarang saya usahakan penjenamaan semula. Mungkin saya mahu kikis imej penyanyi balada yang sentiasa orang kaitkan dengan saya. Ya, akan ada perubahan saya bawakan, nantikan,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya