KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri disaran untuk hanya membenarkan murid perempuan sekolah rendah yang belum baligh sahaja membuat persembahan tarian depan khalayak umum.
Zuraida Md Noor (Pas – Ladang) berkata, saranan itu adalah sebagai memantapkan lagi pelaksanaan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan di Terengganu.
Katanya, sebagai contoh, sebelum ini masyarakat membenarkan kanak-kanak perempuan sekolah rendah untuk melakukan persembahan tarian dan sebagainya di hadapan awam.
“Namun, adalah lebih molek sekiranya mendefinisikan anak gadis tersebut kepada kategori baligh dan belum baligh.
“Ertinya, hanya anak-anak yang masih belum baligh sahaja dibenarkan membuat persembahan sebagai penambahbaikan garis panduan agar negeri kita ini sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT,” katanya ketika berucap pada sesi perbahasan di persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15 di sini hari ini.
Zuraida turut mencadangkan kerajaan negeri meluaskan lagi prospek penjawatan pemandu wanita di setiap agensi kerajaan di Terengganu supaya kebajikan dan keselesaan penjawat awam wanita lebih terjaga.
Pada tahun 2020, seorang pemandu wanita dilantik melalui unit tubuh Urus Setia Wanita Terengganu.
“Ini membuka mata banyak pihak dan mendapat respon yang sangat baik daripada pegawai-pegawai wanita kerajaan kerana mereka juga merasa kurang selesa apabila bermusafir hanya berdua dengan pemandu lelaki,” katanya. – UTUSAN