KUALA TERENGGANU: Seramai 3,476 anak Terengganu mendapat peluang pekerjaan
di tapak pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), setakat September lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, mereka adalah sebahagian daripada 5,034 anak tempatan yang terlibat dengan pembinaan projek ECRL.
Menurutnya, keseluruhan projek ECRL menggunakan 21,716 orang tenaga kerja dalam tempoh tersebut.
Katanya, keperluan pekerja tempatan semasa bergantung kepada baki-baki kerja infrastruktur yang masih dilaksanakan.
“Bilangan pekerja akan semakin berkurang sehingga projek ini disiapkan mengikut kepakaran atau kerja-kerja yang masih berbaki.
“Bagi pekerja-pekerja yang mempunyai kepakaran tertentu, mereka akan diserap semasa pengoperasian selepas projek ini selesai dan bilangannya akan ditentukan mengikut kekosongan jawatan dari masa ke semasa,” katanya
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr. Riduan Mohamad Nor (Pas-Jertih) yang ingin tahu berapakah jumlah pekerja tempatan negeri Terengganu dalam pembinaan projek ECRL di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, di sini, hari ini.
Pembinaan projek ECRL sepanjang 665 kilometer yang membabitkan perbelanjaan sebanyak RM50.27 bilion dijangka siap pada
menjelang akhir 2026.
Menjawab soalan tambahan Dr. Riduan mengenai kes sosial melibatkan pekerja ECRL dengan penduduk tempatan pula, Hanafiah berkata, perkara itu telah disenaraikan di dalam Laporan Penilaian Impak Sosial yang telah diluluskan oleh PLANMalaysia.
Menurutnya, Malaysia Rail Link Sdn. Bhd (MRL) selaku pemilik projek ECRL dengan kerjasama kontraktor utama, China Communications Construction Sdn Bhd. (CCC) telah mengambil beberapa langkah untuk mengatasinya.
“Antaranya, mewujudkan penempatan pekerja dari China secara berpusat yang dikenali sebagai Central Labour Quarters( CLQ) dan memperkenalkan sistem atau prosedur keselamatan yang wajib dipatuhi,” ujarnya.- UTUSAN