DUN Terengganu: 34,540 sesi rawatan pesakit mental tahun lalu

DUN Terengganu: 34,540 sesi rawatan pesakit mental tahun lalu

WAN SUKAIRI WAN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 34,540 sesi rawatan telah diberikan kepada pesakit yang berdepan masalah berkaitan mental di fasiliti kesihatan seluruh Terengganu sepanjang tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, jumlah sesi rawatan yang diberi kepada pesakit berkaitan mental itu meningkat dalam tempoh lima tahun sejak 2018.

Menurutnya, pada tahun 2018, sebanyak 24,562 sesi telah dijalankan manakala pada tahun 2019, jumlahnya berkurangan kepada 19,645 sesi rawatan.

“Jumlah itu meningkat semula pada tahun 2020 iaitu 21,478 sesi, seterusnya 26,896 sesi pada tahun 2021 dan 31,617 untuk tahun 2022.

“Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu tidak mempunyai data jumlah sebenar pesakit mental sebaliknya, data yang direkodkan ialah jumlah sesi rawatan yang diberikan kepada mereka hadir untuk mendapatkan rawatan berkaitan kesihatan mental di Terengganu,” katanya.

Beliau menjawab soalan lisan Dr. Riduan Mohamad Nor (Pas-Jertih) mengenai jumlah pesakit mental yang berdaftar antara 2018 hingga 2023 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Pada tahun ini pula, kata beliau, sebanyak 28,014 sesi diberikan kepada individu yang hadir untuk mendapatkan rawatan berkaitan kesihatan mental bagi tempoh Januari hingga September lalu.

Menjawab soalan tambahan Riduan mengenai jenis penyakit dan rawatan diterima, Wan Sukairi berkata, analisis mendapati 33 peratus adalah kes kemurungan.

“Selain itu ialah kes keresahan (anxiety) iaitu 16 peratus manakala penyakit psikiatri major seperti schizophernia dan bipolar pula meningkat agak sekata dengan insiden kes baharu antara tujuh hingga 10 peratus,” katanya.

Di Terengganu, hospital yang dilengkapi tenaga pakar psikiatri am dan beberapa bidang subkepakaran seperti neuropsikiatri, psikogeriatrik, psikiatri pemulihan dan komuniti terdapat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Hospital lain yang turut menawarkan perkhidmatan rawatan sakit mental ialah Hospital Dungun, Hospital Kemaman, Hospital Besut dan Hospital Hulu Terengganu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya