Stadium Shah Alam, KSSA siap sepenuhnya 2030

DUN Selangor: Stadium Shah Alam, KSSA siap sepenuhnya 2030

KSSA
AMIRUDIN Shari memaklumkan perkembangan projek pembangunan semula KSSA pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Sidang DUN Selangor Ke-15, di Wisma Dewan Negeri Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) secara keseluruhan yang merangkumi tiga fasa dijangka siap sepenuhnya pada 2030 yang turut melibatkan ruang niaga, pusat rekreasi dan hotel.

Malah, sehingga 30 Oktober lalu kerja-kerja perobohan keseluruhan Stadium Shah Alam berada pada tahap 45.8 peratus dan pelaksanaan kerja-kerja peringkat fasa satu itu dijangka siap pada Jun tahun hadapan.

Menteri Besar, Datuk Amirudin Shari berkata, kerja-kerja perobohan dilakukan pada skala besar supaya ia dapat disiapkan sebelum pengoperasian Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang dijangka bermula pada akhir 2025.

Menurutnya, kerja-kerja pembinaan fasa satu merangkumi komponen seperti Stadium Shah Alam, Terminal Bersepadu (LRT3), tempat letak kereta, pusat rekreasi dan padang latihan yang dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2027.

“Manakala fasa kedua pula akan dibina bangunan teater tertutup, ruang niaga sayap sukan dan sayap belia, ia dijangka bermula pada pertengahan 2027 dan siap pada akhir tahun 2029.

“Fasa ketiga, pembinaan hotel yang akan dirancang pada tahun 2028 hingga 2030. Kenapa kita kena buat kerja-kerja perobohan lebih besar kerana kita juga akan turut menyesuaikan dengan proses operasi LRT3 yang akan beroperasi pada akhir 2025,” katanya pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berhubung perkembangan pembinaan KSSA.

Dalam pada itu, Amirudin yang juga ADUN Sungai Tua menjawab soalan tambahan daripada Muhammad Idham berhubung pendanaan dan pertukaran tanah bagi melaksanakan projek pembangunan semula kompleks tersebut.

“MBI yang dikawal selia oleh kerajaan negeri di bawah kelolaan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sedang berbincang dengan pemaju untuk menetapkan apakah tanah-tanah gantian yang sesuai atau kaedah pembayaran yang dipersetujui.

“Pada perjanjian pertama, mereka bersetuju pada kadar pertukaran tanah, ia masih lagi diteruskan dan kita semakin menjurus kepada dua atau tiga lokasi berbanding lapan atau sembilan lokasi yang ditetapkan oleh kerajaan negeri. Lokasi-lokasi itu kita akan muktamadkan dan umumkan kemudian,” jelasnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Stadium ikonik yang merupakan rumah kepada pasukan The Red Giants itu mula dirobohkan pada awal Julai lalu. Pembangunan semula KSSA di Seksyen 13 itu melibatkan komponen-komponen utamanya seperti Stadium Mini, Stadium Malawati (stadium tertutup) dan kompleks renang.

Kompleks sukan yang baharu nanti akan mengandungi pelbagai kemudahan termasuk hotel dan pusat beli-belah yang bersambungan dengan Stesen LRT3. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya