SHAH ALAM: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kecoh apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, S. Preakash membangkitkan isu siasata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang ahli politik pembangkang berpengaruh di Selangor.
Susulan itu, ADUN Taman Medan, Dr. Afif Bahardin mencabar Preakash supaya menyatakan nama individu atau pemimpin politik pembangkang yang dimaksudkan kepada DUN Selangor.
“Walaupun kerajaan mempunyai unjuran atau perkembangan ekonomi yang tinggi, namun demikian kerajaan negeri kehilangan jutaan ringgit akibat daripada ketirisan.
“Baru-baru ini kita digemparkan dengan satu tangkapan terhadap bekas CEO Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) yang berkait dengan seorang pembangkang yang sangat berpengaruh. Saya baca daripada laporan tersebut (daripada sebuah portal), SPRM memanggil bekas ahli perniagaan sebuah syarikat di Selangor berhubung dakwaan rasuah.
“Saya hendak tanya, siapa prominent opposition leader? Kita semua senyap, pembangkang senyap dalam perkara itu. (Afif mencelah) Tak apa, biar saya habiskan,” kata Preakash yang membangkitkan siasatan SPRM ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2025 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Sidang DUN Selangor Ke-15, hari ini.
Dr. Afif: Kamu sebutlah siapa, saya cabar!
Preakash: Saya hendak tanya, siapa?
Dr. Afif: Sebutlah siapa?
Preakash: Kenapa saya hendak (kena) sebut?
Dr. Afif: Kamu yang tanya tadi!
Preakash: Soalan saya, dalam laporan…biar saya habiskan. Kemudian kamu jawab.
Dr. Afif: Sebutlah, awak berani ke? Sebutlah sekarang.
Preakash: Dengar dahulu.
Speaker, Lau Weng San: Taman Medan (Dr. Afif) duduk. Saya hendak tanya Kota Kemuning (Preakash) beri laluan ke tidak? Taman Medan kena jaga tertib.
Namun, Dr. Afif kembali bangun dan membangkitkan Peraturan Tetap Mesyuarat 36(6) supaya Speaker memberi teguran terhadap mana-mana ahli yang sangkaan jahat kepada ahli DUN yang lain selain mencabar Preakash menunjukkan bukti terhadap dakwaannya.
“Speaker, Peraturan 36(6), seseorang ahli tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat kepada ahli lain, saya lihat apa yang Kota Kemuning buat (sebutkan), dia cakap ‘pembangkang’ berulang kali, ada konspirasi, ada ambil duit, tunjukkan bukti.
“Dalam dewan ini, kamu dilindungi dengan imuniti, nyatakan nama. Kamu petik daripada (portal berita berkenaan) yang tak beri laporan langsung, isu dalam siasatan SPRM. Sekarang, perkara itu ada dalam siasatan SPRM, tak ada siapa pun dinamakan, laporan (portal) itu pun tak nyatakan. Apa niat awak sebenarnya,” soalnya.
Bagaimanapun, Preakash mengulangi kenyataan itu adalah persoalan yang ditanya. – UTUSAN