SHAH ALAM: Premis dan kilang di Teluk Gong, Pelabuhan Klang diarahkan memasang Sistem Kawalan Pencemaran Udara (SKPU) bagi mengawal pelepasan sisa ke udara atau pemeruapan daripada proses pengilangan.
Pemasangan itu diarahkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor yang mana akan dipantau oleh pihak berwibawa (competent person) bagi memastikan prestasi optimum SKPU dan berfungsi dengan berkesan dalam mengawal pelepasan bahan pencemar ke udara.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, selain itu agensi terbabit turut menjalankan penguatkuasaan secara berkala ke atas kilang- kilang di dalam kawasan Perindustrian Telok Gong khususnya yang berisiko menghasilkan pencemaran udara.
Menurutnya, Operasi (Op) Gempur dan penguatkuasaan juga dilaksanakan oleh pasukan Jabatan JAS secara menyeluruh bagi mengatasi masalah pencemaran di kawasan berkenaan.
“Pemeriksaan dijalankan secara menyeluruh dan ulang lawat pemeriksaan dipertingkatkan bagi memastikan pihak kilang supaya sentiasa mematuhi had-had yang dibenarkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.
“Selain daripada itu, JAS mengarahkan premis di kawasan perindustrian supaya memasang SKPU serta diselenggara oleh competent person bagi memastikan prestasi SKPU berada di tahap yang optimum dan berfungsi dengan berkesan dalam mengawal pelepasan bahan pencemar,” katanya pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berhubung langkah-langkah diambil bagi mengatasi pencemaran di Kawasan Perindustrian Telok Gong sebagaimana laporan Mingguan Malaysia pada September lalu.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan Teluk Gong tercemar teruk dan keadaan itu meresahkan kira-kira 40,000 penduduk di kawasan berkenaan apabila terpaksa menghidu bau busuk setiap hari sejak sejak 10 tahun lalu.
Amirudin sebelum ini juga menegaskan kerajaan negeri tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan serius ke atas kilang haram di sana dan akan meneruskan usaha membanteras premis tersebut.
Pada Khamis lalu, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim, melancarkan Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran (KTK) Selangor 2025 – 2027 bagi membanteras kilang-kilang haram termasuk di Teluk Gong.
Dalam pada itu, Amirudin pada masa sama turut menjelaskan rondaan mencegah pencemaran turut dilaksanakan oleh JAS Selangor bagi memantau dan mencegah pencemaran oleh pihak kilang di luar waktu pejabat khususnya hari cuti, Sabtu dan Ahad pada setiap minggu.
“Kilang-kilang yang mencemarkan udara akan diambil tindakan di bawah peruntukan undang-undang AKAS 1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 dengan tindakan seperti pendakwaan di mahkamah, Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37, Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) dan Perintah Larangan,” ujarnya.
Katanya lagi, kilang haram yang mencemarkan alam sekitar tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan perundangan di bawah AKAS 1974. – UTUSAN