DUN Selangor: Hamil luar nikah seawal usia 10 tahun

DUN Selangor: Hamil luar nikah seawal usia 10 tahun

Hamil luar nikah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selangor merekodkan masalah kehamilan luar nikah yang membimbangkan apabila ia turut melibatkan kanak-kanak seawal usia 10 tahun yang mencatatkan keseluruhan 555 kes sehingga September lalu.

Perkara tersebut dinyatakan, Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari menerusi laporan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

Beliau berkata, sehingga tempoh tersebut, secara pecahannya kategori umur bagi 10 hingga 14 tahun merekodkan 13 kes, manakala 15 hingga 17 tahun adalah sebanyak 157 kes.

“Bagi umur 18 dan 19 tahun pula merekodkan sebanyak 385 kes. Berdasarkan maklumat, statistik remaja hamil luar nikah bagi negeri ini pada tahun lalu adalah sebanyak 799 kes.

“Kerajaan negeri memandang serius isu tersebut terutama apabila melibatkan kanak-kanak dan remaja dibawah 18 tahun,” katanya pada sesi penggulungan Belanjawan Selangor 2025 dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15, semalam.

Jelasnya, bagaimanapun kerajaan negeri mengambil pelbagai langkah termasuk melaksanakan Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC.

Menurut Anfaal, program itu bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada kanak-kanak dalam aspek keselamatan serta perlindungan kanak-kanak daripada gangguan seksual.

“Ia dilaksanakan sebanyak 12 siri iaitu 11 program di sekolah-sekolah semua daerah di negeri ini, manakala satu program di Pusat Aktiviti Kanak-kanak Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hicom.

“Selain itu, ibu bapa turut didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran mendidik anak-anak tentang kaedah penggunaan teknologi digital selamat menerusi Program Kasih Keibubapaan Digital,” ujarnya.

Tambahnya lagi, program itu melibatkan seramai 300 orang peserta menerusi 10 siri agar dapat melindungi anak-anak dari pengaruh media sosial yang tidak sihat.

“Kerajaan negeri memulakan rangka kerja awal bagi melaksanakan persidangan meja bulat menangani isu berkenaan yang akan dilaksanakan pada suku pertama tahun 2025.

“Ini dilakukan melalui Wanita Berdaya Selangor (WBS) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor dan Persatuan Kebajikan Bayt Al-Rahmah,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya