Azmin persoal bayaran RM30 juta kepada syarikat pembalakan

DUN Selangor: Azmin persoal bayaran RM30 juta kepada syarikat pembalakan

Pembalakan
MOHAMED AZMIN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri didakwa perlu menanggung beban sebanyak RM30 juta berhubung penarikan keelulusan diberikan kepada sebuah syarikat bagi aktiviti melibatkan dua kompartmen dalam Hutan Simpan Bukit Belata, Hulu Selangor.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bayaran tersebut adalah membebankan dan akan memberi implikasi kewangan serius kepada kerajaan negeri jika ia berlaku berterusan.

Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang itu turut membangkitkan kebimbangan jika masalah itu mungkin mengganggu dasar kerajaan negeri untuk mengekalkan keseluruhan hutan simpan di Selangor.

“Antara perkara yang ingin saya mohon penjelasan adalah berapakah keluasan hutan simpan kekal yang ada di Selangor pada ketika ini. Saya percaya kita mempunyai dasar untuk mengekalkan hutan simpan bagi menjamin tidak ada pencemaran atau kerosakan kepada alam sekitar.

“Sekali lagi ada di depan saya, satu implikasi kewangan yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan negeri berjumlah RM30 juta bagi tahun 2024, yang mana terdapat bayaran penyelesaian luar mahkamah bagi penarikan kelulusan yang diberikan kepada syarikat Sim Suee Sdn. Bhd. untuk sebahagian kompartmen 7 dan 29, Hutan Simpan Bukit Belata, Hulu Selangor.

“Itu membebankan kerajaan negeri, sekiranya pengurusan itu tidak cekap atau cuai, maka ada tuntutan-tuntutan itu seperti yang saya nyatakan tadi, sekarang kerajaan negeri terpaksa menanggung sejumlah RM30 juta atas keputusan yang dibuat oleh mahkamah bagi penyelesaian di luar mahkamah,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 kepada Jabatan Perhutanan Selangor sebanyak RM29,7 juta.

Justeru, beliau mempersoalkan jika pengurusan hutan oleh jabatan berkenaan dilakukan dengan cekap dan diuruskan dengan baik.

Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menyatakan RM30 juta yang ditanggung oleh kerajaan negeri melalui penyelesaian di luar mahkamah sebelum ini adalah harga konsesi yang dibayar sebagai komitmen dalam melaksanakan moratorium pembalakan di Selangor.

“Itu juga bersesuaian dengan moratorium pembalakan yang diputuskan oleh kerajaan negeri selama tiga penggal lepas.

“Dengan 25 tahun moratorium itu, kita terpaksa membayar kerana ia merupakan komitmen yang dikeluarkan pentadbiran sebelum 2008 untuk sesetengah syarikat mendapat konsesi pembalakan di Selangor dan dengan sebab tersebut, kita tidak punya jalan yang lain selain daripada berbincang dengan pihak terbabit untuk melepaskan konsesi tersebut dan dibayar,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu keluasan hutan simpan di negeri ini berada pada tahap 31.7 peratus berbanding keluasan negeri iaitu melepasi peratusan asas 30 peratus seperti ditetapkan.

Menurutnya, jumlah tersebut melibatkan penggantian kawasan-kawasan hutan yang diteroka termasuk pembinaan jajaran Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

Sepanjang lima tahun lalu, keluasan hutan simpan bertambah sebanyak 779.73 hektar, kerana sebagaimana yang kita laksanakan dasar-dasar sebelum ini, pengambilan kawasan hutan simpan digantikan.

Malah, penggantian itu melibatkan pertambahan-pertambahan yang besar daripada kawasan yang kita ambil. Sebab itu kawasan Hutan Simpan Buluh Telur sebagai contoh di Hulu Selangor, itu antara kawasan-kawasan baharu yang kita ambil,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya