KOTA KINABALU: Kerajaan negeri perlu mengambil inisiatif membiayai pengajian anak-anak Sabah dalam bidang perubatan dalam usaha membantu mengatasi kekurangan doktor di Sabah.
Datuk Dr Yusof Yacob (Gagasan Rakyat-Sindumin) berkata, langkah itu membolehkan mana-mana pelajar perubatan yang menamatkan pengajian, diserap bagi mengisi kekosongan jawatan pegawai perubatan.
“Kita ambil anak-anak kita yang pintar yang ada sekarang ini supaya mereka yang berminat jadi doktor kita latih, kita beri mereka biasiswa untuk mengisi kekosongan ini dan juga pegawai-pegawai perubatan yang ingin mengambil ataupun kita tawarkan untuk menjadi doktor pakar.
“Kita bagi biasiswa supaya kita ada kecukupan doktor di Sabah. Ini penting untuk rakyat kita sihat untuk rakyat kita ceria dan keluarga yang harmoni perlu sihat.
“Kita berharap program ini mesti diatur (inisiatif) daripada kerajaan negeri menerusi bahagian biasiswa dengan Kementerian Kesihatan,” katanya semasa sesi perbahasan Belanjawan Negeri pada persidangan DUN, semalam.
Beliau, yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus berkata, daripada 620 jawatan doktor pakar di Sabah, masih terdapat 66 kekosongan jawatan.
Katanya, jawatan pegawai perubatan di Sabah adalah 2,375 perjawatan dan diisi cuma 1,951 perjawatan. Jawatan doktor pula mempunyai 2,995 orang untuk merawat 3.5 juta ertinya nisbah doktor kepada pesakit adalah 1:1,100.
Jika dilihat sekarang, jawatan doktor pakar yang diisi adalah 554 dan 1,951 untuk pegawai perubatan.
Berdasarkan jumlah itu, seorang doktor merawat 1,400 orang pesakit dan bagi mencapai nisbah 1:500 pesakit seperti saranan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Sabah perlukan 7,000 doktor.-UTUSAN