KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menegaskan tiada istilah ‘tengok sajo’ atau lihat sahaja dalam aktiviti perlombongan yang berjalan di negeri ini, termasuk berkaitan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NRREE) dan emas.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, penggunaan istilah itu tidak tepat kerana aktiviti perlombongan melalui proses yang ketat dan ada pemantauan daripada pihak kerajaan negeri.
Menurutnya, perlombongan NRREE di Kelantan akan dimulakan dengan anak syarikat kerajaan negeri khususnya Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dengan hanya NRREE di Kenering, Gerik, Perak sahaja dibenarkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk dieksport keluar berikutan ia merupakan projek rintis.
“Walaupun kita tahu harganya tinggi tetapi perlombongan NRREE memerlukan proses rapi terutama berkaitan impaknya terhadap alam sekitar,” katanya menjawab soalan tambahan Mohd. Syahbuddin Hashim (BN-Galas) pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Bagi Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-15 Tahun 2024 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Mohamed Fadzli memberitahu, semasa sesi libat urus kerajaan negeri bersama agensi Kerajaan Persekutuan, pihaknya turut dimaklumkan bahawa jangka masa mendapat kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi perlombongan NRREE sahaja memerlukan masa sehingga dua atau tiga tahun.
“Dasarnya begitu tetapi alhamdulillah, saya menghadiri mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) beberapa bulan lepas dan jabatan-jabatan terlibat menjanjikan untuk proses ini dipercepatkan.
“Walaubagaimanapun cuba mendapatkan hasil maksimum daripada industri NRREE ini sebagaimana hasrat Kerajaan Persekutuan sendiri,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan itu berkata, dalam aspek model niaga, kerajaan negeri akan cuba menjalinkan kerjasama antara agensinya dengan mana-mana syarikat yang telah terbukti kemampuannya dalam industri NRREE.
Katanya, kerajaan negeri sudah mengadakan perbincangan dengan Lynas Malaysia yang beroperasi di Kuantan, Pahang untuk menjalinkan kerjasama dalam pembangunan industri NRREE di negeri ini.
“Kita akan mengusahakan untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak Lynas. Lain-lain syarikat masih di peringkat awal tetapi agensi kerajaan negeri sudah bersedia ke arah itu.
“Kita akan memastikan negeri mendapat keuntungan maksimum daripada hasil NRREE dan berusaha memastikan proses upstream dan downstream dilaksanakan di dalam atau di luar negara ,” ujarnya. – UTUSAN