Meraih kemenangan menerusi kategori Pengacara TV Terbaik sempena penganjuran Anugerah Seri Angkasa 2024 (ASA2024) baru-baru ini, Fiza Sabjahan, 43, mengakui perjalanannya bukan mudah untuk sampai ke tangga kejayaan pada hari ini.
Selama 17 tahun, Fiza mengakui, terlalu banyak onak dan duri yang telah dilaluinya dalam usaha menjual bakatnya sebagai seorang personaliti TV menerusi hasil kerja yang dipertontonkan kepada masyarakat.
Malah, Fiza juga masih ingat, bagaimana pada awal kakinya melangkah masuk dalam bidang pengacaraan, dia menerima khabar dan cakap-cakap belakang orang yang mendakwa dirinya masih belum cukup cantik untuk bergelar pengacara sebuah program terkemuka terbitan TV3 sebelum ini.
Tidak mahu terus meratap dan bersedih, Fiza bangkit daripada kata-kata orang dan berusaha memperbaiki kelemahan diri selain nekad memasang hajat untuk fokus ke hadapan.
“Memori itu masih saya ingati sampai hari ini kerana ia memang satu kenyataan. Masa mula-mula saya menceburi bidang ini, saya diberikan program utama di TV3. Masa itu orang cakap saya ini belum cukup cantik untuk mengemudi program tersebut.
“Tetapi ada ramai individu lain yang bahkan hari ini sudah jadi bos saya, mereka cakap, usah dengar kata-kata negatif kerana kita ini bekerja kerana bakat. Mereka ingatkan saya bahawa percaya pada rezeki Allah SWT dan suatu hari nanti bakat ini akan diiktiraf.
“Sebab itu, saya terus berusaha dan buat sahaja kerja saya dengan sebaik mungkin,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengakui, wujud amalan stereotaip dalam industri penyiaran, Fiza sedar mungkin ada ramai kalangan mereka yang menanam hasrat untuk menceburi bidang ini berasa kurang keyakinan seandainya dianggap tidak sempurna sebagai satu pakej.
Pun begitu, menitip kata-kata semangat buat semua pihak, kata Fiza, seharusnya kekurangan diri itu diatasi dengan sebaik mungkin kerana di akhir cerita, bakat jua yang akan diangkat di kemudian hari.
“Mengacara ini lebih kepada bakat. Saya percaya kalau kita berusaha bersungguh-sungguh, berdiri atas bakat sendiri, Insya-Allah, orang dan penonton akan nilai kita dengan baik bukan sekadar rupa.
“Saya juga percaya, dah ada duit nanti, pandailah masing-masing cuba perbaiki dan ubah penampilan misalnya dengan rajinkan diri pergi buat rawatan wajah dan sebagainya. Tetapi bakat juga bagi saya adalah utama,”katanya.
Sambung Fiza, secara peribadi, dia percaya bahawa setiap individu yang memilih kerjaya sebagai pengacara seharusnya tidak lokek menyediakan perbelanjaan bagi menjaga kecantikan dan penampilan diri.
Katanya, hal itu penting kerana ia dapat menaikkan keyakinan diri.
“Penting untuk kita ada sedikit belanja untuk relevan dalam industri. Tidak semestinya mahal, tetapi ia adalah satu keperluan demi menjaga penampilan. Pendek kata jangan lokek sediakan sedikit belanja ke arah itu.
“Satu lagi, keperibadian juga wajar dijaga. Tak bolehlah kalau kita rasa kita ini lebih lama, maka diri sudah cukup bagus. Kita kena sentiasa menghormati orang lain walaupun ada rakan-rakan kita itu berusia lebih muda daripada kita.
“Ini bukanlah satu resepi atau formula, tetapi ini adalah apa yang saya buat selama ini. Saya percaya, asalkan kita tidak menganiaya orang lain, mengganggu orang, kita jalankan kerja dengan sebaik mungkin.
“Cuba juga belajar dengan orang baharu sebab zaman dah berubah, penonton dan generasi juga berubah. Jadi kita pun kena berubah,”ujarnya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai hasrat untuk melangkah keluar daripada Media Prima dan TV3 untuk meneroka peluang ke stesen televisyen lain, Fiza bagaimanapun memberi tanda isyarat bahawa perkara itu seakan tidak mungkin dilakukan.
Ini kerana, kata wanita kelahiran Klang, Selangor ini, hatinya sudah terpaut lama dengan tempat di mana semua impiannya dapat direalisasi sehingga kini.
“Tak ramai orang tahu, saya ini bermula sebagai gadis cuaca di RTM semasa saya masih bekerja sebagai pramugari. Saya buat kerja itu secara separuh masa sahaja sebelum akhirnya dapat peluang ke TV3.
“Masuk sahaja TV3, saya diberi tanggungjawab kendalikan program Nona dan daripada situ, macam-macam program lagi yang saya kendalikan atas dasar menggalas kepercayaan yang diberikan.
“Jadi untuk saya menerima pelawaan stesen televisyen lain dan bekerja di tempat lain, bagi saya seakan tidak mungkin. Saya sayang Media Prima dan TV3 kerana melalui tempat inilah saya dapat ubah hidup saya,”katanya.