IPOH: Dua saksi dari Jakarta, Indonesia akan dipanggil memberi keterangan dalam kes rogol seorang pembantu rumah warga Indonesia oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong, lima tahun lalu.
Menurut peguam bela, Salim Bashir, kedua-dua saksi itu merupakan peguam yang menemuramah mangsa rogol dan seorang notari awam.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam tersebut kepada media selepas tamat pengurusan kes itu dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Ipoh, Nur Laila Mohamed Nazil.
“Kedua-dua mereka akan memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini. Pada prosiding itu, pihak pembelaan akan bertanyakan berkaitan dokumen yang dihantar kepada anak guam kami manakala pihak pendakwaan pula akan menyoal balas untuk mengesahkan bukti baharu tersebut.
“Setakat ini, dua saksi dari Jakarta akan hadir dan kita tidak tahu apa mereka akan katakan pada prosiding itu nanti,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya sama ada pembantu rumah terbabit turut akan dipanggil untuk memberi keterangan, beliau berkata pihak pembelaan akan berusaha untuk membawa mangsa.
“Kita cuba yang terbaik untuk membawanya ke sini, jika tidak, kita akan maklumkan kepada mahkamah,” katanya.
Selain Salim, Choo Kiong turut diwakili peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Low Wei Loke.
Sementara itu, Hisyam Teh berkata, Mahkamah Tinggi hari ini turut menetapkan 13, 14, 21 dan 22 Januari depan untuk pendengaran semula kes itu bagi menilai bukti-bukti baharu yang dibenarkan masuk.
“Bukti tambahan itu terdiri daripada lima dokumen yang sangat penting. Mahkamah Persekutuan telah mengarahkan kami untuk mengemukakan bukti ini di Mahkamah Tinggi.
“Mahkamah Tinggi akan menilai bukti dan mempertimbangkan hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan sebelum menyediakan pandangan berhubung kes ini di mana laporan itu akan dihantar ke Mahkamah Persekutuan untuk digunakan ketika rayuan,” katanya.
Prosiding pengurusan kes dalam kamar itu turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya yang diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Muhammad Zaki Abdul Kudos, Yasinnisa Begam Seeni Mohideen dan Liyana Zawani Mohd. Radzi.
Pada 12 November lalu, panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan membenarkan bekas ADUN Tronoh itu untuk memasukkan bukti baharu membabitkan kes rogol pembantu rumahnya selepas mendapati terdapat unsur menunjukkan mangsa memberikan keterangan palsu pada perbicaraan kes itu sebelum ini.
Sehubungan itu, Mahkamah Persekutuan mengarahkan agar Mahkamah Tinggi Ipoh untuk membuat penilaian semula kes berkenaan dengan mengambil kira lima dokumen yang baru diterima sebagai bukti baharu itu.
Dengan keputusan tersebut, pendengaran rayuan akhir Choo Kiong yang sepatutnya didengar pada 25 November ini telah ditangguhkan dan mahkamah menetapkan pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Ipoh pada hari ini.
Pada 1 Mac lalu, Mahkamah Rayuan dalam keputusan 2-1 mengekalkan sabitan salah terhadap Choo Kiong namun meminda hukuman 13 tahun kepada lapan tahun. Hukuman sebat dua kali dikekalkan.
Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh mendapati Choo Kiong, 53, bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun di dalam bilik rumahnya di Ipoh, Perak antara 8.15 malam dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019. – UTUSAN