KUALA PILAH: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah di sini, atas pertuduhan merompak secara berkumpulan di sebuah premis cuci kenderaan di Jempol, pertengahan bulan ini.
Tertuduh, Muhammad Suhaimi, 26, dan Hasuhaimi Sani, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah serta meminta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Norma Ismail.
Berdasarkan pertuduhan, kedua-duanya secara bersama-sama telah melakukan rompak berkumpulan terhadap harta seorang lelaki berusia 26 tahun iaitu sebuah beg sandang, tiga buah telefon bimbit pelbagai jenis, dompet mengandungi dokumen serta kad bank serta dua utas jam tangan.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 6 petang di sebuah premis cuci kenderaan di Pasoh, Jempol, 15 November lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda dan sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung tidak menawarkan sebarang wang jaminan kerana tuduhan melibatkan keganasan dan barang-barang kes berharga.
Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan yang rendah berikutan menanggung keluarga termasuk ibu bapa yang sakit selain ahli keluarga orang kurang upaya (OKU).
Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan syarat tambahan tidak melakukan kacau ganggu ke atas mana-mana saksi ataupun mangsa dan menetapkan 6 Januari 2025 untuk sebut semula bagi pengurusan dokumen. – UTUSAN