Dua penganggur edar 113kg dadah ditahan

Dua penganggur edar 113kg dadah ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua penganggur disyaki mengedar 112.78 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis pada 18 November lalu di United Point Residence, Segambut, di sini. 

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, kedua-dua suspek  ditahan pukul 6.45 petang di hadapan lif Blok B kondominium tersebut. 

“Polis menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 29 dan 31 tahun kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah sejak enam bulan lalu. 

“Susulan tangkapan, polis dipandu arah oleh suspek ke sebuah premis dan menemukan 1,982 peket plastik mengandungi serbuk disyaki dadah jenis MDMA dengan anggaran berat 101.85 kg” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini, hari ini. 

Menurutnya, polis turut dibawa ke premis berlainan di kediaman terbabit dan merampas 196 peket plastik mengandungi serbuk disyaki MDMA seberat 9.94 kg, 450 biji pil Erimin 5 (124 gram), lima peket pil Ecstacy (93.83 gram), lapan peket ketamine (242 gram) serta 45 biji pil Yaba (4.51 gram) yang ditemukan di dalam kotak di atas lantai bilik itu.

Beliau berkata, kedua-dua premis terbabit disewa dan dijadikan stor simpanan dadah yang diedar mereka serta dipercayai terdapat individu lain yang memproses dadah terbabit. 

“Kesemua dadah itu diedar kepada pembeli mengikut berat tertentu dan kebiasaannya dijual kepada penagih yang masuk ke pusat hiburan,” katanya. 

Polis turut merampas sebuah kereta jenis Volkswagen Passat yang di dalamnya tersimpan dadah MDMA seberat 542 gram di petak tempat letak kenderaan di kediaman berkenaan. 

Turut dirampas empat kenderaan lain dipercayai digunakan untuk menghantar dadah itu.

Kedua-dua penganggur ditahan reman tujuh hari bermula 19 sehingga 25 November ini. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa kepada hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan tidak kurang 12 sebatan jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya