KUALA LUMPUR: Polis menahan dua penganggur yang disyaki mengedar sejumlah 112.78 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis pada 18 November lalu di United Point Residence, Segambut, di sini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, kedua-dua suspek terbabit ditahan pada pukul 6.45 petang di hadapan lif Blok B kondominium tersebut.
“Polis menahan dua lelaki tempatan masing-masinng berusia 29 dan 31 tahun kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah sejak enam bulan lalu.
“Susulan tangkapan tersebut, polis dipandu arah oleh suspek ke sebuah premis dan telah menemukan 1,982 peket plastik mengandungi serbuk disyaki dadah jenis MDMA dengan anggaran berat 101.85 kg,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini hari ini.
Menurutnya, polis turut dibawa ke premis berlainan di kediaman terbabit dan merampas 196 peket plastik mengandungi serbuk disyaki MDMA seberat 9.94 kg, 450 biji pil Erimin 5 (124 gram), lima peket pil Ecstacy (93.83 gram), lapan peket Ketamine (242 gram) serta 45 biji pil Yaba (4.51 gram) yang ditemukan di dalam kotak di atas lantai bilik itu.
Beliau berkata, kedua-dua premis terbabit disewa dan dijadikan stor simpanan dadah yang diedar mereka serta dipercayai terdapat individu lain yang memproses dadah terbabit.
“Jumlah keseluruhan rampasan dadah tersebut mampu menampung penggunaan seramai 49,872 orang penagih.
“Kesemua dadah itu diedar kepada pembeli mengikut berat tertentu dan kebiasaannya dijual kepada penagih yang masuk ke pusat hiburan,” katanya.
Katanya, anggaran nilai rampasan dadah dalam serbuan tersebut berjumlah RM449,681.
“Polis turut merampas sebuah kereta jenis Volkswagen Passat yang didalamnya tersimpan dadah MDMA seberat 542 gram di petak parkir kediaman berkenaan.
“Selain kereta tersebut, polis juga merampas empat kenderaan lain yang dipercayai digunakan untuk menghantar dadah itu,” katanya.
Tambahnya, kedua-dua penganggur itu ditahan reman tujuh hari bermula 19 sehingga 25 November.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa kepada hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan tidak kurang 12 sebatan jika disabitkan kesalahan,” ujarnya. – UTUSAN