Dua lelaki maut motosikal bertembung

Dua lelaki maut motosikal bertembung

KEMALANGAN membabitkan seorang anggota tentera udara dengan seorang pekerja kilang di Kampung Kubang Sapi, Sidam Kiri dekat sini, pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Dua penunggang motosikal maut selepas motosikal ditunggang mereka bertembung di Kilometer 22 Jalan Kampung Kubang Sapi berdekatan Sidam Kiri di sini, pagi tadi.

Mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 7.10 pagi itu ialah seorang anggota tentera udara berpengkalan di Butterworth, Muhammad Amyrul Safuan Fadzil, 31, dan seorang pekerja kilang Inokom di Kulim,Muhammad Hambalee Ishak, 27.

Kedua-dua mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala selepas motosikal masing-masing yang terdiri daripada Yamaha NVX dan Yamaha Y15ZR bertembung secara berhadapan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja masing masing.

“Hasil siasatan mendapati Muhammad Amyrul dalam perjalanan dari rumahnya di Prima Residensi Utama untuk ke tempat kerjanya di Butterworth, manakala pekerja kilang itu pula dari rumahnya di Taman Semarak untuk ke tempat kerjanya di Inokom Corporation Sdn. Bhd. di Padang Meha, Bagan Serai, Kulim.

“Sampai di lokasi kejadian,motosikal yang ditunggang Muhammad Hambalee dari arah Pinang Tunggal ke Sidam Kiri hilang kawalan sebelum merempuh motosikal anggota tentera itu dari arah bertentangan,” katanya.

Wan Azharuddin berkata, akibat rempuhan kuat telah menyebabkan kedua-dua penunggang jatuh ke tepi jalan dan mangsa meninggal serta-merta akibat kecederaan parah pada bahagian kepala masing-masing.

Katanya, motosikal kedua-dua mangsa juga rosak teruk di bahagian hadapan dan mayat mangsa kemudian dibawa untuk proses bedah siasat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Kata Wan Azharuddin, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, abang kepada Muhammad Hambalee, Muhammad Helme, 36, yang ditemui di Unit Forensik HSAH berkata, dia menerima panggilan telefon berkaitan kejadian yang menimpa adik kelima dari tujuh beradik itu pukul 8 pagi tadi dari salah seorang ahli keluarganya.

“Arwah adik saya tinggal bersama bapa, Ishak Hassan, 63, pesara tentera di Taman Semarak sejak kematian ibu Sakinah Zainol Abidin empat tahun lalu.

“Dia seorang adik yang baik dan tidak sangka kami kehilangannya,” katanya yang memberitahu jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Sungai Pasir sebaik selesai urusan bedah siasat dijalankan hari ini.– UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya