DUNGUN: Dua lelaki disyaki mencuri kabel telekomunikasi ditahan polis selepas cuba melarikan diri dalam kejadian berhampiran Pusat Koreksional Bukit Besi, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, suspek berusia 30 dan 43 tahun, berasal dari Seberang Takir, Kuala Nerus berjaya diberkas kira-kira pukul 9.30 pagi.
“Sebelum kejadian, sepasukan anggota polis telah membuat rondaan dan pemantauan di lokasi kejadian sebelum melihat salah seorang suspek tiba-tiba keluar dari kawasan hutan dalam keadaan cemas dan disyaki memegang peralatan pertukangan.
“Lelaki itu terus masuk ke dalam sebuah Perodua Axia dalam keadaan tergesa-gesa dan meninggalkan lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Maizura berkata, anggota polis kemudiannya mengekori kenderaan suspek dan menyedari kenderaan mereka diekori, suspek bertindak memecut kenderaan untuk meloloskan diri namun berjaya dipintas polis dan kedua-dua suspek dapat diberkas.
Maizura berkata, pemeriksaan lanjut menemukan kira-kira 650 meter keratan kabel dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kabel. – UTUSAN