MARANG: Dua jurujual lelaki maut manakala dua lagi cedera setelah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki terbabas dan merempuh sebatang pokok selepas terlanggar lopak air di Kilometer 45, Jalan Kuantan-Kuala Terengganu dekat Pasir Putih, Merchang, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.35 petang itu, mangsa yang meninggal dunia ialah penumpang di bahagian belakang iaitu Ahmad Farid Izwan Mohd., 24, dan Muhammad Amir Ikmal Hashim, 20, setelah cedera parah di kepala.
Sementara itu, dua rakan sekerja iaitu Muhammad Shafiq Aizad Yusaini, 26, yang memandu kenderaan itu mengalami kecederaan di kepala dan penumpang hadapan, Muhammad Razlan Rashidi Abd. Razak, 19, cedera di lengan.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Mohd. Sofian Redzuan berkata, kemalangan berlaku ketika MPV jenis Nissan Grand Livina milik syarikat yang dinaiki mangsa dalam perjalanan dari arah Kemaman menuju ke Kuala Terengganu.
“Tiba di lokasi kejadian, semasa melalui satu selekoh, tiba-tiba kenderaan tersebut telah terlanggar lopak air lalu terbabas ke kiri jalan dan kemudiannya merempuh sebatang pokok.
“Akibat daripada itu, kedua-dua penumpang belakang disahkan pasukan perubatan meninggal dunia di lokasi kejadian susulan mengalami cedera parah di kepala.
“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Dungun untuk bedah siasat. Pemandu serta penumpang hadapan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk dapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN