TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu, itu ynag berlaku kepada dua graduan UTeM dalam pesta konvokesyen baru-baru ini.
Berkat usaha gigih dua graduan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Fakhirah Hazirah Shahrulazhar, 24, dan Din Ying Xuan, 24, mereka menerima Anugerah Pelajaran Diraja sempena Majlis Konvokesyen UTeM ke-20, baru-baru ini.
Kedua-dua mereka merupakan antara 3,459 graduan yang menerima diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana serta doktor falsafah (PhD) dalam majlis yang membabitkan enam sesi.
Fakhirah Hazirah dan Ying Xuan menerima pingat, sijil, wang tunai RM7,500 dan nombor plat eksklusif UTeM disampaikan Canselor UTeM, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.
Fakhirah Hazirah yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dengan Kepujian berkata, untuk mencapai kejayaan cemerlang seseorang perlu berdisiplin, tekun dan bijak dalam menguruskan masa.
Menurutnya, walaupun aktif dengan sukan tae kwon do dan pasukan beruniform sebagai Leftenan Muda Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA), dia dapat mengimbanginya serta berjaya memberikan tumpuan dalam bidang akademik.
“Ini adalah cabaran besar buat saya dalam aspek mental dan fizikal, namun minda kita perlu kuat dengan satu keazaman teguh serta diiringi doa ibu bapa dan sokongan para pensyarah.
“Saya konsisten dengan amalan, sentiasa bersungguh-sungguh melaksanakan sesuatu perkara sehingga membuahkan kejayaan,” katanya. – UTUSAN