BALIK PULAU : Dua beranak mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan iaitu menerima deposit berjumlah RM50,000 tanpa lesen yang sah, kira-kira sembilan tahun yang lalu.
Tertuduh, Abang Fikri Azad Abang Mohamad Arip, 35, dan bapanya, Abang Mohamad Arip Abang Aerowaini, 70, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.
Mengikut kesemua pertuduhan, kedua-dua tertuduh didapati menerima wang deposit berjumlah RM50,000 daripada Zakaria Abdul Rahman, 38, tanpa suatu lesen yang sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).
Kedua-dua mereka yang pernah menganggotai satu badan beruniform sebelum ini itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Bayan Baru dekat sini antara 8 Mei hingga 5 Jun 2015.
Atas kesalahan terbabit, mereka didakwa mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (2) Akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau didenda sehingga RM50 juta atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, S. Jeevah.
Terdahulu, ketika prosiding, Jin Hong menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran selain dilarang mengganggu saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport yang dimiliki kepada mahkamah.
Bagaimanapun, Jeevah memohon mahkamah untuk memberikan wang jaminan paling minimum atas alasan anak guamnya kini bekerja sebagai pemandu e-hailing dengan pendapatan bulanan kurang daripada RM2,000 serta perlu menyara keluarga termasuk ibu dan bapa mentuanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM18,000 dikenakan ke atas setiap tertuduh bagi kesemua pertuduhan yang dihadapi bersama seorang penjamin tempatan serta meletakkan syarat tambahan seperti yang ditawarkan pihak pendakwaan.
Kes dijangka disebut semula 6 Januari depan.-UTUSAN