Dua beradik didakwa kes bakar bunga api sebabkan kebakaran dewan - Utusan Malaysia

Dua beradik didakwa kes bakar bunga api sebabkan kebakaran dewan

STEVEN John Mikela (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini atas pertuduhan memiliki bahan letupan. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Dua beradik lelaki dihadapkan di dua mahkamah berasingan di sini hari ini atas pertuduhan memiliki dan melakukan khianat membakar bunga api sehingga menyebabkan kebakaran di Dewan Arena Square Teluk Intan pada minggu lalu.

Di Mahkamah Sesyen, tertuduh Jesan John Mikela, 19, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Norhamizah Shaiffudin.

Berdasarkan pertuduhan, remaja lelaki terbabit didakwa menggunakan bunga api dengan mengetahui mungkin dengan jalan itu menyebabkan kerosakan kepada bangunan Dewan Arena Square kepunyaan Majlis Perbandaran Teluk Intan yang digunakan sebagai tempat kegunaan awam.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Dewan Arena Square Jalan Raja Teluk Intan dalam daerah Hilir Perak antara pukul lebih kurang 11.29 malam pada 11 November 2024.

Jesan yang hadir ke mahkamah ditemani bapanya didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri ke balai polis sebulan sekali.

Dalam pada itu, di Mahkamah Majistret abang Jesan, Steven, 24, membuat pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan mempunyai bahan letupan jenis happy boom assorted 138 shot dan happy boom red cracker 88 di lokasi sama jam lebih kurang 8.30 malam pada 11 November 2024.

Majistret Naidatul Athirah Azman membenarkan tertuduh yang bekerja sebagai pemandu lori dikenakan jaminan RM3,500 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan kedua-dua kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Aina Liyana Mohd Talal dan Inspektor Nurul Farahdiana Md Saad manakala tertuduh diwakili Peguam Faustina Francis.

Mahkamah turut menetapkan 20 Disember depan sebagai tarikh sebutan kedua-dua kes.

Media melaporkan kebakaran Dewan Arena Square di Jalan Raja di sini dipercayai berpunca daripada percikan mercun dan bunga api.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kebakaran sekitar pukul 11 malam itu berlaku ketika majlis sambutan hari lahir diadakan di dewan berkenaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya